Sabtu, 25 April 2009

Mencari permata bernama Khalid Al-Walid


(Gambar sebelah ialah makam Khalid Al-walid)Khalid Al-walid, nama seorang sahabat yang cukup agung, ketangkasannya di medan perang merupakan catatan sejarah yang pasti tidak hilang. Bahkan gelaran pakar strategi perang semenjak era jahiliah hingga keakhir hayat seakan akan cukup sinonim dengan peribadi Khalid Al-walid.
Ketika detik mula Nabi S.A.W mengajak umat Quraish untuk mengambdikan diri kepada Allah, Khalid tergolong dalam barisan pembangkang Nabi, beliau berada dalam barisan hadapan bagi menghalang segala usaha dakwah baginda Muhammad S.A.W. sehingga riwayat yang pasti diingati oleh kita semua, bagaimana ketika peperangan uhud, Khalid lah yang menjadi pencatur yang membawa kepada kekalahan tipis tentera muslimin.
Namun semua itu berlalu begitu sahaja, apabila sinar Iman dan Islam menerpa masuk ke kalbu Khalid, beliau telah bertukar 360 darjah, lalu menjadi seorang pejuang setia untuk mempertahankan Nabi dan Islam, kepintarannya dalam menyusun teknik dan taktik perang ternyata diguna sebaik mungkin oleh baginda Nabi untuk memastikan Islam dipertahankan dan disebar luaskan.
Setelah kewafatan Nabi, Syaidina Abu Bakar R.A tetap meletakkan kepercayaan kepada Khalid untuk terus memimpin tentera Islam, dalam peperangan Yarmuk yang berlaku dihujung pemerintahan Abu Bakar, Khalid telah diarah mengetuai sejumlah 25 ribu tentera muslimin untuk ke Yarmuk bagi berhadapan tentera Rom. Ketika jendela perang disingkap, Abu Bakar telah dijemput kembali ke Rahmatullah, Syaidina Umar telah dipilih menjadi Khalifah, di antara tindakan awal Umar ialah memecat Khalid dari panglima perang dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-jarrah. Khalid yang berada di medan Yarmuk pada ketika menerima arahan pemecatannya lantas menyerahkan tugas selaku panglima kepada Abu Ubaidah Al-jarrah tanpa sedikit pun mmerasa kecewa. Apabila sebahagian sahabat bertanya kepada Khalid, tidakkah beliau kecewa dan marah dengan tindakan Umar tersebut, seraya Khalid menjawab bahawa apa yang Umar lakukan memang tepat kerana katanya Umar lebih layak menetukannya kerana beliau lebih dahulu memeluk Islam. Alangkah tulusnya jawapan seorang yang berjiwa besar dan sudah tentu jawapan itu terbit dari hati yang cukup bersih.
Satu perkara menarik ialah ulasan dari Dr. Ali Shallaby ketika menghuraikan sebab Umar menggugurkan Khalid sebagai penglima, ini kerana ketika Abu Bakar menjadi Khalifah, beliau memang terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, mudah menangis maka sesuailah panglima yang dipilih itu seorang yang keras, tegas seperti Khalid. Adapun Umar memang terkenal dengan keras dan tegas maka sesuailah panglima perangnya Abu Ubaidah seorang yang lemah lembut. Sekiranya Umar tetap mengekalkan Khalid sebagai panglima, maka sudah tentu berlaku pertembungan pendapat kerana kedua-duanya bersifat tegas dank eras.
Tindakan pemecatan Khalid juga bukan kerana Khalid tidak berani, tetapi kerana Khalid terlebih berani sehingga orang yang menjadi pengikutnya tidak mampu untuk membuat apa yang dibuat oleh Khalid.
Demekianlah Khalid Al-walid, panglima hebat Islam yang melalui sejarah peperangan yang cukup gemillang, namun takdir Allah, Khalid tidak gugur syahid dalam peperangan yang diikutinya,sebaliknya Khalid kembali menemuiNYA diatas katil.
Kesimpulannya, amat indah sejarah para sahabat, termasuk Khalid, bagaimana mereka sanggup mengorbankan segalanya untuk mendaulatkan Islam, dunia hari ini sedang mencari tokoh persis Khalid yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah, bukan kerana pangkat,jawatan dan habuan. Khalid tidak pernah kecewa jauh sekali berdendam biarpun dilucutkan jawatan yang layak baginya. Apakah akan muncul Khalid Al-walid abad ini??

Tiada ulasan:

Catat Ulasan