Selasa, 24 Mac 2009

Min Asraril Quran - siri 2

IBLIS LAKNATULLAH

Iblis merupakan nama yang berasal dari perkataan A’jam dan bukan dari bahasa arab ( ini merupakan pendapat yang lebih kuat ).
Perkataan Iblis disebut dalam Al-quran sebanyak 11 kali, iaitu setiap satu kali dalam surah Al-baqarah, Al-a’raf, Al-isra’,Al-kahfi,Taha,As-syua’ra’ dan Saba’. Serta 2 kali dalam surah Al-hijr dan Shod.
Seperkara yang masyhur dalam riwayat mulut ke mulut ialah, Iblis mempunyai dua nama, satu nama sebelum dia ingkar kepada Allah iaitulah AZAZIL dan nama IBLIS itu diberi setelah dia mengkufuri Allah. Namun dakwaan tersebut langsung tidak bersandarkan dalil serta nas yang sahih.
Iblis merupakan makhluk yang diciptakan sebelum dari penciptaan manusia, dan sejak sekian lama Iblis hidup dalam lingkungan para Malaikat dalam syurga.Pun begitu Iblis bukan Malaikat sebaliknya dia tergolong dari golongan Jin. Hanya dengan satu ketakburan Iblis enggan untuk sujud ( member penghormatan ) kepada Adam A.S maka akibatnya Iblis telah dilaknat sepanjang zaman. Iblis telah membuat permohonan kepada Allah untuk mengekalkannya hingga hari kiamat dengan tujuan untuk menyesatkan manusia, Iblis mengangap dengan membuat permohonan ini maka Allah tidak akan mematikannya tetapi Iblis sedikit terlupa bahawa walaupun Allah memanjangkan tempoh hidupnya di dunia dia tetap akan dimatikan pada satu masa nanti, kerana Allah menyatakan dengan jelas bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati.
Jelas kepada kita bahawa Iblis mer upakan makhluk yang paling panjang umur, kerana dia diciptakan sebelum terciptanya Adam, dan sehingga kehari ini Iblis masih bernyawa di permukaan alam ini.
Iblis telah disifatkan oleh Allah sebagai SYAITAN. Perkataan Syaitan diambil dari kata dasar SYATANA yang bererti dijauhkan, maka oleh kerana Iblis telah dijauhkan dari rahmat Allah maka dia digelar Syaitan.Apa yang perlu diketahui bahawa SYAITAN bukan hanya khusus kepada Iblis sebaliknya gelaran Syaitan itu untuk semua makhluk samada manusia atau jin yang ingkar dan kufur kepada Allah.
Perkataan Syaitan dengan lafaz “Mufrad” disebut sebanyak 70 kali dalam Al-quran, dan dengan lafaz “Jama’” sebanyak 18 kali.
Maka setiap orang yang kufur dengan Allah mereka ialah Syaitan dan pengikut kepada parti SYAITAN yang dipimpin oleh IBLIS laknatullah. Seperti yang dinyakan oleh Allah dalam surah Al-mujadalah ayat 9.
Wallahua’lam.

Jumaat, 20 Mac 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU........

BARAKALLUHU LAKUMA WAJAMA’A BAINAKUMA FI KHAIR…….Ucapan tahniah dan selamat pengatin baru untuk 2 orang sahabat yang baru mengadakan Walimatul U’rus, Mohd Nasbir Md Yusof (Beh) dengan pasangannya Maryam Jamilah Yusof dan juga Mohd Basri Shohimi dan pasangannya yang aku pun tak pasti namanya

Ali Rustam di gantung: Siapa gembira?

Berita tentang tergantungnya Ali Rustam dari kebenaran untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno tentu disambut gembira oleh sebahagian ahli Umno dan tentu pula sebahagian penyokong tegar Ali akan menyembah derhaka kepada lembaga disiplin. Ketika Ali memenangi jawatan Naib presiden dalam pemilihan sebelum ini, bukan sedikit suara yang mempertikaikan kemenangan tersebut, ini kerana Ali memang tidak sunyi dari dakwaan mengamalkan RASUAH atau dalam bahasa umno “Politik Wang”. Apabila lembaga disiplin UMNO mengambil tindakan menggantung keahlian Isa Samad, penyokong Isa turut mempertikaikan keputusan tersebut, kerana ia seolah olah berat sebelah apabila tidak mengambil tindakan terhadap Ali yang menang jawatan tersebut melalui jalan yang diragui sama seperti Isa.
Saya teringat ketika selepas pemilihan UMNO sebelum ini, beberapa pemimpin Umno telah mengadakan lawatan ke timur tengah, antara destinasi yang disinggah ialah Syria, kebetulan waktu itu saya masih di Syria dan antara pemimpin yang menyertai rombongan itu ialah Tan Sri Abdul Hamid Othman. Pada majlis makan malam bersama rombongan, saya telah diletakan semeja dengan Hamid -Othman ¬– kebetulan saya salah seorang EXCO persatuan pelajar- sempat juga untuk berbual dengan Tan Sri, tetapi antara banyak isi perbualan kami, saya teringat kepada satu perkara yang diucapkan oleh Hamid Othman ketika menceritakan tentang bagaimana perjalanan pemilihan UMNO , kata Hamid lebih kurang bunyi nya “ macama mana Ali dengan Isa boleh menang, dua dua tu bukan boleh cakap orang putih, paham pun sikit2 ja.macam mana nak jadi pemimpin nasional. Tapi memang tak heran la Dato’ ( dituju kepada seorang pegawai JASA yang saya terlupa nama dia) bila ada duit memang boleh menang, kita yang tak dak duit ni dah tak peghaya la.” (kalau tak silap saya, Hamid Othman kalah dalam pemilihan Majlis tertinggi UMNO pada tahun itu)Bila saya mendengar apa yang dikatakan oleh Hamid Othman, saya tergelak sendirian dan berkata dalam hati , apa punya tak ceghedik paklong ni, hal dalam kelambu UMNO pun nak gheyuh, paihtu bila terdedah keaiban UMNO mula la pakat cempera. Tapi saya juga sebenarnya seonok dengan apa yang dikatakan oleh Hamid Othman itu, sekurang kurangnya membenarkan telahan saya selama ini dan akan sampai bila bila bahawa UMNO adalah parti perosak yang sudah dilumuri najis mughallazah iaitu RASUAH.
Bila Ali digantung dari bertanding jawatan Timbalan Presiden, ia sebenarnya tidak mampu membersihkan keseluruhan jiwa UMNO tetapi lebih dari itu Ali juga perlu disingkirkan dari jawatan MB Melaka. Apapun orang seperti Hamid Othman tentu mengukir senyum dengan tindakan Lembaga Disiplin UMNO, walaupun senyuman itu tidak membawa sebarang makna.

Selasa, 17 Mac 2009

Tazkirah untuk semua........

Tazkirah Jumaat 6 hb Mac

( ketika melayari blog pandangbelakang.blogspot.com , terpampang artikel ini yang bertajuk "Abu Lahab lebih baik dari kita?", apabila saya membaca artikel ini terasa macam pernah saya menyampaikan isi isi nya dalam satu tazkirah, ternyata dibawah artikel ditulis artikel ini diedit dari tazkirah saya pada jumaat 6 mac di masjid Ittihadiah, kg tengku husin, manjoi.- kepada tuan punya blog, saya mohon kebenaran untuk menyiarkan semula artikel ini dalam blog senandungmalam sebagai bahan tazkirah bersama)

Kita kini berada dalam bulan Rabi'ul awal, dan pada hari ini marilah kita bersama-sama mengucap syukur kehadrat Allah s.w.t. yang mempertemukan kita lagi dengan Rabi'ul awal ini, bulan yang menjadi kebiasaan dan amalan tradisi kepada kita, bilamana masuk sahaja bulan ini kita akan sambut peristiwa Maulidul Rasul s.a.w., satu peristiwa yang cukup besar yang telah mengubah sejarah kemanusiaan di dunia ini. Ketika mana dunia sedang resah gelisah dengan penyakit dan virus jahiliah, Allah s.w.t telah mentakdirkan untuk mengutuskan, kelahiran seorang anak yang menerajui dan telah merubah landscape sejarah hingga waktu ini.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang kita sambut saban tahun dan kita tidak pernah lupa dengan pelbagai acara serta sambutan. Seorang penyair arab telah menyebut "Telah dilahirkan seorang 'al-huda' yakni penunjuk jalan, maka seluruh alam bercahaya dengan kelahiran Muhammad s.a.w. dan setiap manusia yang hidup pada zaman itu dan zaman ini mengukirkan senyuman dan memuji terhadap kelahiran baginda Nabi Muhammada s.a.w." Maka pada hari ini tidak kiralah pada berapa haribulan pun, ada sebahagian riwayat yang kuat menyatakan 12 Rabi'ul awal Nabi lahir, ada juga riwayat yang menyatakan bukan tarikh 12 Rabi'ul awal tetapi tarikh yang lain, namun dalam bulan Rabi'ul awal seluruh umat Islam tidak kira rupa paras, warna kulit, pangkat dan bangsa keturunan, kita semua bersepakat meraikan peristiwa yang dinamakan Maulidul Rasul. Ada yang membuat dengan sambutan perarakan, ada yang menyambutnya dengan ceramah agama, berbagai-bagai acara dan berbagai-bagai peringkat.

Persoalannya yang ingin dilontarkan dalam tulisan yang pendek ini, bagaimanakah, apakah cukup dengan untuk kita menyatakan rasa cinta, rasa sayang kita kepada Baginda Nabi s.a.w. dengan sekadar menyambut peristiwa sahaja. Apakah cukup untuk kita hanya mengaku dengan menyatakan kita umat nabi yang menyayangi dan menyintai Nabi s.a.w. dengan hanya membuat acara-acara sambutan Maulidul Rasul semata.

Kalaulah kita gembira dengan kelahiran Nabi s.a.w. dan menyambutnya dengan acara-acara sebegitu sahaja, maka sesungguhnya Abu Lahab bapa saudara Nabi s.a.w. lebih baik daripada kita. Kerana sewaktu kelahiran Nabi s.a.w., orang datang berjumpa dengan Abdul 'Uzza, yakni nama sebenar Abu Lahab. Orang cerita kepada Abu Lahab "Ya Abdul 'Uzza, sesungguhnya adik ipar kamu yang namanya Aminah telah selamat melahirkan seorang anak, anak itu lelaki, ayah kamu yang namanya Abdul Mutalib telah memberi nama anak itu dengan nama Muhammad." Apa jawab Abu Lahab? ia menyatakan syukur kepada Rabbihaka'bah, tuhan yang menjaga Ka'bah, dan dia telah mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda seronok dan gembira dengan kelahiran Muhammd s.a.w.

Kalau kita juga sambut cuma dengan seronok dengan sambutan Maulidul Rasul setakat itu sahaja, maka Abu Lahab sebenarnya lebih baik dari kita kerana dia juga seronok malah menumbangkan 100 ekor unta (100 ekor unta!!!, kalau kita 100 ekor ayam pun belum tentu). Abu Lahab dengan 100 ekor unta, tetapi orang yang samalah, Muhammad yang ia seronok ketika dilahirkan itulah setelah dilantik Allah s.w.t. menjadi Nabi dan menyeru kepada Islam maka Abu Lahablah orang pertama yang menolak kenabian serta ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Bayangkanlah, 40 tahun sebelum itu dialah orang yang paling gembira dan seronok, dialah yang mengeluarkan segala-galanya untuk sambut kelahiran Nabi s.a.w. bahkan dialah orangnya yang memerdekakan beberapa orang hamba, diantaranya Thuwaiba yang kemudiannya pernah menjadi ibu susu Nabi, ia merdekakan mereka kerana begitu seronok dengan kelahiran Nabi s.a.w.

Satelah 40 tahun kelahiran Mumammad dan dilantik menjadi Nabi, perkara pertama dilakukan Nabi s.a.w. ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku!, sepupu-sepupuku!, adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi s.a.w. pada waktu itu berkata "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." maka jawab Nabi s.a.w. "Maka pada hari ini aku ingin istiharkan aku adalah utusan Allah", lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Tabballaka ya Muhammad" yang bermaksud "Celakalah Muhammad, apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?". Maka turunlah ayat Al-Qur'an surah Al-Masad, "Tabbat yada abi lahabiu'n watab..." ertinya "Celakalah Abu Lahab..." hingga akhir ayat, maka celakalah Abu Lahab bukan Muhammad s.a.w. yang celaka.

Jadi, apabila kita menyebut sambutan Maulidul Rasul, maka di situ mesti ada pengisian, pengisiannya adalah dengan mencari kesempatan yang diberi Allah s.w.t. untuk mengenang, mencari siapakah sebenarnya Nabi s.a.w., siapakan Nabi yang kita ikut. Apakah kita sekadar mengenali beliau benama Muhammad bin Abdullah? tetapi tidak tahu sejarah hidup serta perjalanan sirah Baginda s.a.w. Ambillah kesempatan disamping ceramah-ceramah, program-program, aturcara-aturcara yang kita buat disamping itu kita kembali menghayati, mengingati, kehidupan Nabi s.a.w. daripada mula Nabi s.a.w. dilahirkan hingga wafat kembali ke rahmatullah kerana Nabi s.a.w. adalah "Uswatun Hasanah" yakni "Contoh Tauladan Terbaik" kepada umat manusia.

Bilamana kita manusia mengetahui peribadi Nabi s.a.w., bagaimanakah kehidupan Nabi s.a.w., maka ketika itulah akan timbul rasa cinta kita kepada Baginda s.a.w. dengan melaksanakan segala titah suruhan, yang diperintah Nabi s.a.w. dan sedaya-upaya meninggalkan segala ancaman-ancaman, tegahan-tegahan yang telah disebut Nabi s.a.w. lebih seribu empat ratus tahun dahulu.

Allah s.w.t. menyatakan sekiranya kamu cinta kepada Allah, sekiranya kamu cinta kepada Nabi maka ikutlah arahan Allah, ikut arahan Rasul "Wa'ati'ullah waatiurasul wa'ulil aamri minkum" kata Allah hendaklah kamu mentaati Allah dan hendaklah kamu mentaati Rasul dan juga pemimpin-pemimpin kamu. Ulama menafsirkan bahawa ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Allah, Allah menyebut "A'ti'u", ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Rasul, Allah menyebut "A'ti'u rasul", dan ketika mana Allah menyebut taat kepada pemimpin Allah cuma menyambung "wa'ulil aamri minkum" tanpa menyebut "A'ti'u". Maka di sana ulama membuat kesimpulan taat pada Allah, taat pada Rasul adalah mutlaq tanpa soal. Apabila Allah Ta'ala kata halal maka halallah, bilamana Nabi kata wajib maka wajiblah, apabila Nabi kata perkara ini tak boleh buat maka tak boleh buat kerana patuh kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlaq, tunduk dan patuh. Adapun taat kepada "ulil aamri" kepimpinan maka di sana ada kaitan yakni pemimpin yang taat kepada Allah dan taat kepada Rasul yaitu berdasarkan kebenaran.

Sempena Maulidur Rasul ini, marilah kita sama-sama bertekat dan menanam azam untuk kembali mengenal Nabi s.a.w. dengan sirah, kita ajar anak-anak kita, generasi kita untuk faham siapakah Nabi kita. Dengan menanamkan kefahaman kepada generasi ini daripada kecil, InsyaAllah generasi mendatang akan menjadi generasi yang lebih berpedoman dan beridolakan Rasulullah s.a.w., oleh kerana generasi dan umat yang ada pada waktu ini sudah hilang idolanya, mentornya, ikutannya, maka marilah bersama-sama kita kembali menjadikan Nabi s.a.w. sebagai ikutan dalam kehidupan, kita tanamkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w. dengan mengikut segala sunah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. samada perintah arahan ataupun tegahan yang diwarisi dalam hadis-hadis yang banyak disebut serta ditinggalkan Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, marilah kita kembali menghayati segala sunah Rasulullah s.a.w. dan kehidupan beragama kerana pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud "Orang Islam, bilamana ia meninggalkan agama, bilamana ia meninggalkan contoh tauladan kehidupan berpandukan kepada Nabi s.a.w., umat Islam pada ketika itu akan jadi mundur, terkebelakang walaupun manusia menyatakan semakin maju, tetapi yang meninggalkan agama sebenarnya akan menjadi mundur. Adapun orang yang bukan Islam, bilamana mereka meninggalkan ajaran agama mereka, mereka akan menjadi maju dan kehadapan"

Marilah kita kembali menghayati serta menjalankan tugas yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan moga-moga dengan kita menghidupkan sunah dan mengamalkannya serta memperbanyakkan selawat keatas baginda, apalah kiranya Nabi s.a.w. sudi memberikan kita Syaffa'atnya semasa kita di Yaumil Masyar yang kita cukup yakini kehadirannya di akhirat nanti, InsyaAllah.
credits: utz. m.rodhi ab/m.al-ittihadiah

Rabu, 11 Mac 2009

Min Asraril Quran - siri 1

ADAM ALAIHIS SALAM

Nama Nabi Allah Adam A.S disebut di dalam Al-quran sebanyak 25 kali dalam 25 ayat
1. Surah Al-baqarah – ayat 31, 33, 34, 35, 37
2. Surah Ali-imran – ayat 33, 59
3. Surah Al-maidah – ayat 27
4. Surah Al-a’raf – ayat 11, 19, 26, 27, 31, 35, 172
5. Surah Al-isra’ – ayat 61, 70
6. Surah Al-kahfi – ayat 50
7. Surah Maryam – ayat 58
8. Surah Taha – ayat 115, 116, 117, 120, 121
9. Surah Yasin – ayat 60
Disebut di dalam kitab Addurrul manthur daripada Ibnu Abbas bahawasanya Adam dan Hawa diturunkan kebumi dari syurga disebuah negeri yang bernama “DAJNA” iaitu satu tempat antara Makkah dan Thaif. Dalam satu riayat lain dari Ibnu Abbas bahawa mereka diturunkan di “INDIA”. Terdapat juga pendapat yang mengatakan Adam diturunkan di Sofa manakala Hawa diturunkan di Marwah.
Dalam kitab Tafsir imam At-Tabari, diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar “Ketika Allah menurunkan adam kebumi dari syurga, Adam di tempatkan di India, kemudian Adam dating ke Makkah dan kemudian mengembara ke Syam dan wafat di sana”
Adapun makam Nabi Adam ada beberapa pendapat, diriwayatkan Nabi Adam dimakamkan di bukit Abi Qubais di Makkah, pendapat lain mengatakan di bukit Bauz, India dan satu lagi pendapat mengatakan di Baitul Maqdis.
Pendapat yang lebih rajih adalah seperti yang dinyatakan oleh At-Tabari, Ibnu Athir dan juga Ya’qubi, sesungguhnya Adam A.S setelah diampunkan oleh Allah terhadap kesilapannya, Jibril telah membawa Adam ke Arafah dan di sana Adam telah diajar tentang ibadah haji, setelah Adam wafat baginda di makamkan di Bukit Abi Qubais, Makkah.

Selasa, 10 Mac 2009

Salam pertemuan buat semua pembaca, mungkin juga salam perkenalan untuk anda semua, 2 tahun sebelum ini pernah juga saya mencuba untuk berjinak jinak dengan dunia blog ini. Tapi ternyata cubaan itu menemui kegagalan, blog saya sebelum ini hanya mampu bertahan beberapa bulan akibat terkena virus “malas update”.
Kali ini saya cuba sekali lagi untuk turut sama melibatkan diri dalam dunia blog, dengan satu tujuan, untuk menggunakan medium ini bagi berkongsi maklumat dan ilmu untuk tatapan kita bersama, menyedari banyak isu yang berlegar disekeliling kita menuntut kita untuk menyatakan sesuatu dalam ruang yang cukup luas, maka saya dengan rendah diri berasa perlu untuk berblog semula.
Moga Allah s.w.t memberikan kekuatan kepada saya untuk berlari laju seperti blogger blogger lain.
Sekali lagi, salam perkenalan dan ukhuwah…..