Isnin, 9 November 2009

Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Selepas Seminar Itu…)

Tuan guru Haji Abdul Hadi Awang akhir-akhir ini sering menjadi sasaran kritikan, lebih memedihkan apabila pengkrtik tersebut kebanyakan adalah yang mengaku menjadi ahli PAS. Islam sama sekali tidak menghalang untuk orang bawah menegur pimpinan, namun semua teguran hendaklah berpaksikan adab islam.tapi apa yang terjadi semua yang membuat teguran seolah tercabut nilai akhlak dan adab ketika melontarkan kritikan. catatan dibawah yang saya petik dari blog pemudagombak sekadar mengajak semua kita merenung dan mengenali semula TGHA.catatan ini saya yakin seperti yang disebut, bukan untuk memuja TGHA, tetapi sekadar meluahkan isi hati dan rasa sayang kepada seorang tokoh ini.- senandung malam

Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din (Ketua Lajnah Tarbiyah DPPG)

Telah ramai memberikan ulasan sama ada positif atau negatif selepas berakhirnya Seminar Memperkasakan Parti tempoh hari. Cukuplah dengan coretan rakan-rakan blogger dalam menggambarkan suasana program tersebut. Rasanya tidak perlu diulas lagi resolusi, perbahasan atau bilangan perwakilan serta pemerhati yang hadir.

Namun, saya ingin mengulas tentang seorang individu yang menjadi antara subjek-subjek utama ucapan serta perbahasan hari ini. Beliau adalah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.



Bagi yang ingin mencari individu yang benar-benar menjiwai akhlaq sebagai ahli gerakan, pada saya contoh yang paling sesuai adalah beliau.

Pengalaman Seminar

Beliau berkelapangan mengikuti seminar politik tersebut sejak dari awal lagi termasuk memberikan ucaptama. Sejak awal seminar lagi saya memerhatikan ucapan, tindak-tanduk serta reaksi beliau tehadap peserta-peserta seminar dan keadaan di situ.



Bermula dari pembentangan oleh Prof. Abdul Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau telah mula dikritik. Bahkan, ditambah pula dengan data-data sokongan responden kajian yang dikemukakan oleh Dr. Abu Hassan yang menampakkan sokongan yang agak negatif terhadap beliau. Saya serahkan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengulas dapatan-dapatan tersebut.

Namun, sudi saya ketengahkan di sini tentang sikap tawaddhu’ beliau yang sudi mendengar kritikan dan teguran yang dikemukakan. Sepanjang slot bersama dua tokoh akademik tersebut, beliau langsung tidak berganjak dari tempat duduknya bersama dengan hadirin yang lain mendengar dengan tekun setiap pandangan yang dilontarkan.

Saya tidak pasti sekiranya orang lain berada di tempatnya akan bertahan lama.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh sebahagian perwakilan, namun beliau dengan sifat rendah diri mencatit satu-persatu apa yang dimuhasabahkan.

Tenang…..

Walaupun kebanyakan kritikan itu adalah tohmahan. Dan tidak melampau ada yang sampai ke tahap fitnah terhadap kepimpinan beliau.



Kadang-kala beliau kelihatan mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan, bersetuju dengan kritikan yang diberikan. Bahkan, dalam ucapan penggulungan, beliau sanggup membela pihak yang mengkritiknya dan seolah-olah menyanjung tinggi semua pandangan kritis itu.

Beliau tidak akan merasa gundah dengan kemelut ini. Sebarang masalah yang berlaku pastinya tidak akan melemahkan semangat untuk terus berjuang. Bahkan, tekad Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk tetap memikul amanah yang diserahkan kepada beliau sedaya mungkin. Beliau menyatakan bahawa kepimpinan PAS yang diketuai beliau adalah nakhoda yang akan terus menerajui parti demi mencapai hasrat memartabatkan agama Allah SWT di bumi Malaysia ini.

Saya terfikir sekiranya beliau terpengaruh dengan gesaan supaya memecat Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Hassan Ali, nescaya ahli PAS akan lebih teruk berpecah. Jemaah akan porak-peranda dan runtuh. Mungkin ada yang keluar PAS dan menubuhkan parti baru.

Namun, tindakan beliau yang memanggil mesyuarat PAS untuk membincangkannya adalah satu akhlaq yang perlu dicontohi. Ini menunjukkan beliau mengutamakan syura melebihi pandangan peribadi. Bahkan, beliau tidak pernah sewenang-wenangnya menjawab tohmahan yang dilontarkan secara melulu dan emosi. Beliau bersikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Adil dan menyerahkan perkara tersebut untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.

Beliau meminta pandangan sahabat-sahabat pimpinan yang lain terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu sikap. Walaupun beliau mempunyai hak untuk menggunakan autoritinya bagi memberikan pendapat. Sementelah lagi beliau mempunyai kelayakan berijtihad sebagai seorang ulama’.

Sikap keterbukaan beliau jelas apabila sudi bersetuju untuk menganjurkan seminar hari ini. Bahkan, beliau sudi untuk menjemput orang yang mengkritik kepimpinan dan batang tubuh beliau secara lantang dan terbuka iaitu Prof. Abdul Aziz Bari.



Apakah mata kita sudah kabur untuk melihat keikhlasan beliau? Apakah begitu singkat ingatan kita sehingga melupakan jasa beliau selama ini dalam perjuangan PAS? Apakah kita terus segera meletakkan satu label negatif serta serong kepada beliau hanya sekadar dengan lontaran idea Kerajaan Perpaduan yang merupakan ijtihad peribadi beliau?

Tuan Guru mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hikmah dan kebijaksanaannya mungkin belum disedari termasuk oleh pimpinan PAS sendiri. Sehingga menyebabkan ada pihak yang sanggup memberikan wala’ kepada orang di luar parti. Tokoh-tokoh lain dikagumi, disanjungi sehingga pimpinan sendiri gagal ditaati.

Pengalaman di Bagan Pinang

Teringat sewaktu Tuan Guru memberikan ceramah sewaktu pilihanraya Bagan Pinang bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain. Sepeti biasa, beliau mengulas isu semasa dengan digabungkan bersama dengan ayat-ayat suci al-Quran, Hadis serta Sirah perjuangan Rasulullah SAW. Inilah ‘pattern’ Tuan Guru. Seusai sahaja ucapan beliau, seorang yang berbangsa India bertanya kepada kami yang sedang bertugas.

“Dia baca teks ke tadi?”

“Tak..” Jawab saya.

“Wow, very charismatic la”, ujarnya kagum. Menyangka pidato Tuan Guru bersandarkan teks.

Mungkin ini secebis pengalaman saya tentang Tuan Guru. Mungkin banyak lagi yang dialami oleh sahabat-sahabat.

Istiqamah Mendepani Cabaran

Teruskan perjuanganmu Tuan Guru. Kami bersama denganmu bagi menyambung mata rantai perjuangan yang telah diwariskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tuan Guru dan para pejuang Islam, hayatilah sabda Rasulullah SAW ini;

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاْءً اَلْأَنْبٍيَاْءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى النَّاْسُ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِمْ فَمَنْ ثَخُنَ دِيْنُهُ اِشْتَدَّ بَلَاْؤُهُ وَمَنْ ضَعُفَ دِيْنُهُ ضَعُفَ بَلَاْؤُهُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُصِيْبُهُ الْبَلَاْءُ حَتَّى يَمْشِيَ فِي النَّاْسِ مَاْ عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ.

“Manusia yang paling hebat ditimpa ujian oleh Allah ialah para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka dan begitulah seterusnya. Manusia diuji mengikut tahap pegangan agama mereka. Sesiapa yang kukuh pegangan agamanya akan kuatlah pula ujian Allah kepadanya. Sesiapa yang lemah pegangan agamanya ringanlah ujian Allah kepadanya. Apabila seseorang ditimba ujian (dari Allah, maka akan terhapuslah dosanya) sehingga ia berjalan di tengah-tengah manusia tidak ada sedikitpun dosa yang terpikul atas bahunya”.
(Riwayat Ibnu Hibban dari Abi Sa’id r.a.)

Tulisan ini bukan untuk memuji, memuja atau untuk mempertahankan beliau. Bahkan, beliau tidak perlukan semua itu. Bagi beliau, hanya Allah SWT yang menjadi matlamat utama. Dan matlamat inilah yang menjadi benteng kukuh bagi menghalang putus asa, kecewa dan merasa lemah menerobos dalam dirinya. Saya yakin dan pasti.

Dalam respon beliau terhadap suara-suara gesaan terhadapnya supaya berundur, beliau menyatakan sebagaimana kenyataan Saidina Uthman bin Affan ketika diminta meletakkan jawatan sebagai khalifah.

“Saya tidak akan menanggalkan pakaian yang dipakaikan oleh Allah SWT”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan