Selasa, 24 November 2009

Syeikh Abu Bakar Awang meninggal

ALOR SETAR, 23 Nov: Penasihat Persatuan Ulamak Kedah (PUK), Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi tadi di Hospital Sutanah Bahiyah, dekat sini lantaran sakit tua.

Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.

Sebelum itu, kedua tokoh terkenal ini berkhidmat di Maahad Mahmud, bersama-sama dengan bekas Presiden PAS, Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor. Ustaz Abu Bakar adalah pelajar awal Pondok Tuan Guru Haji Yahya Al-Junaid di Batu 16, Padang Lumat, Kedah.

(Gambar: Abu Bakar dengan anak-anak muridnya)

Beliau menyambung pengajian agama di sebuah universiti di Baghdad, Iraq. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama.

Sebaik kembali dari Iraq, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.

Ketika dihubungi di hospital, Mudir MTID, Syeikh Abdul Majid Abu Bakar An-Nadwi berkata, jenazah akan disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Ustaz Niamat.

Ustaz Abu Bakar yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din sangat mahir dalam bidang Feqah Muamalah dan menulis beberapa buku ilmiah mengenainya. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Ketika dihubungi Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengucapkan takziah mewakili PAS negeri itu dan menyifatkan pemergian Ustaz Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada agama dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Azri Ahmad mengesahkan, Ustaz Abu Bakar menjadi Timbalan Ketua dewan itu dari 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

“Dewan Ulamak PAS Kedah juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulamak ini yang berkorban jiwa raga di atas jalan perjuangan kebenaran, semoga Allah SWT mencucuri Rahmat-Nya ke atas rohnya,” ujar Azri.

HarakahDaily.Net/-

Isnin, 9 November 2009

Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Selepas Seminar Itu…)

Tuan guru Haji Abdul Hadi Awang akhir-akhir ini sering menjadi sasaran kritikan, lebih memedihkan apabila pengkrtik tersebut kebanyakan adalah yang mengaku menjadi ahli PAS. Islam sama sekali tidak menghalang untuk orang bawah menegur pimpinan, namun semua teguran hendaklah berpaksikan adab islam.tapi apa yang terjadi semua yang membuat teguran seolah tercabut nilai akhlak dan adab ketika melontarkan kritikan. catatan dibawah yang saya petik dari blog pemudagombak sekadar mengajak semua kita merenung dan mengenali semula TGHA.catatan ini saya yakin seperti yang disebut, bukan untuk memuja TGHA, tetapi sekadar meluahkan isi hati dan rasa sayang kepada seorang tokoh ini.- senandung malam

Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din (Ketua Lajnah Tarbiyah DPPG)

Telah ramai memberikan ulasan sama ada positif atau negatif selepas berakhirnya Seminar Memperkasakan Parti tempoh hari. Cukuplah dengan coretan rakan-rakan blogger dalam menggambarkan suasana program tersebut. Rasanya tidak perlu diulas lagi resolusi, perbahasan atau bilangan perwakilan serta pemerhati yang hadir.

Namun, saya ingin mengulas tentang seorang individu yang menjadi antara subjek-subjek utama ucapan serta perbahasan hari ini. Beliau adalah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.



Bagi yang ingin mencari individu yang benar-benar menjiwai akhlaq sebagai ahli gerakan, pada saya contoh yang paling sesuai adalah beliau.

Pengalaman Seminar

Beliau berkelapangan mengikuti seminar politik tersebut sejak dari awal lagi termasuk memberikan ucaptama. Sejak awal seminar lagi saya memerhatikan ucapan, tindak-tanduk serta reaksi beliau tehadap peserta-peserta seminar dan keadaan di situ.



Bermula dari pembentangan oleh Prof. Abdul Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau telah mula dikritik. Bahkan, ditambah pula dengan data-data sokongan responden kajian yang dikemukakan oleh Dr. Abu Hassan yang menampakkan sokongan yang agak negatif terhadap beliau. Saya serahkan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengulas dapatan-dapatan tersebut.

Namun, sudi saya ketengahkan di sini tentang sikap tawaddhu’ beliau yang sudi mendengar kritikan dan teguran yang dikemukakan. Sepanjang slot bersama dua tokoh akademik tersebut, beliau langsung tidak berganjak dari tempat duduknya bersama dengan hadirin yang lain mendengar dengan tekun setiap pandangan yang dilontarkan.

Saya tidak pasti sekiranya orang lain berada di tempatnya akan bertahan lama.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh sebahagian perwakilan, namun beliau dengan sifat rendah diri mencatit satu-persatu apa yang dimuhasabahkan.

Tenang…..

Walaupun kebanyakan kritikan itu adalah tohmahan. Dan tidak melampau ada yang sampai ke tahap fitnah terhadap kepimpinan beliau.



Kadang-kala beliau kelihatan mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan, bersetuju dengan kritikan yang diberikan. Bahkan, dalam ucapan penggulungan, beliau sanggup membela pihak yang mengkritiknya dan seolah-olah menyanjung tinggi semua pandangan kritis itu.

Beliau tidak akan merasa gundah dengan kemelut ini. Sebarang masalah yang berlaku pastinya tidak akan melemahkan semangat untuk terus berjuang. Bahkan, tekad Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk tetap memikul amanah yang diserahkan kepada beliau sedaya mungkin. Beliau menyatakan bahawa kepimpinan PAS yang diketuai beliau adalah nakhoda yang akan terus menerajui parti demi mencapai hasrat memartabatkan agama Allah SWT di bumi Malaysia ini.

Saya terfikir sekiranya beliau terpengaruh dengan gesaan supaya memecat Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Hassan Ali, nescaya ahli PAS akan lebih teruk berpecah. Jemaah akan porak-peranda dan runtuh. Mungkin ada yang keluar PAS dan menubuhkan parti baru.

Namun, tindakan beliau yang memanggil mesyuarat PAS untuk membincangkannya adalah satu akhlaq yang perlu dicontohi. Ini menunjukkan beliau mengutamakan syura melebihi pandangan peribadi. Bahkan, beliau tidak pernah sewenang-wenangnya menjawab tohmahan yang dilontarkan secara melulu dan emosi. Beliau bersikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Adil dan menyerahkan perkara tersebut untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.

Beliau meminta pandangan sahabat-sahabat pimpinan yang lain terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu sikap. Walaupun beliau mempunyai hak untuk menggunakan autoritinya bagi memberikan pendapat. Sementelah lagi beliau mempunyai kelayakan berijtihad sebagai seorang ulama’.

Sikap keterbukaan beliau jelas apabila sudi bersetuju untuk menganjurkan seminar hari ini. Bahkan, beliau sudi untuk menjemput orang yang mengkritik kepimpinan dan batang tubuh beliau secara lantang dan terbuka iaitu Prof. Abdul Aziz Bari.



Apakah mata kita sudah kabur untuk melihat keikhlasan beliau? Apakah begitu singkat ingatan kita sehingga melupakan jasa beliau selama ini dalam perjuangan PAS? Apakah kita terus segera meletakkan satu label negatif serta serong kepada beliau hanya sekadar dengan lontaran idea Kerajaan Perpaduan yang merupakan ijtihad peribadi beliau?

Tuan Guru mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hikmah dan kebijaksanaannya mungkin belum disedari termasuk oleh pimpinan PAS sendiri. Sehingga menyebabkan ada pihak yang sanggup memberikan wala’ kepada orang di luar parti. Tokoh-tokoh lain dikagumi, disanjungi sehingga pimpinan sendiri gagal ditaati.

Pengalaman di Bagan Pinang

Teringat sewaktu Tuan Guru memberikan ceramah sewaktu pilihanraya Bagan Pinang bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain. Sepeti biasa, beliau mengulas isu semasa dengan digabungkan bersama dengan ayat-ayat suci al-Quran, Hadis serta Sirah perjuangan Rasulullah SAW. Inilah ‘pattern’ Tuan Guru. Seusai sahaja ucapan beliau, seorang yang berbangsa India bertanya kepada kami yang sedang bertugas.

“Dia baca teks ke tadi?”

“Tak..” Jawab saya.

“Wow, very charismatic la”, ujarnya kagum. Menyangka pidato Tuan Guru bersandarkan teks.

Mungkin ini secebis pengalaman saya tentang Tuan Guru. Mungkin banyak lagi yang dialami oleh sahabat-sahabat.

Istiqamah Mendepani Cabaran

Teruskan perjuanganmu Tuan Guru. Kami bersama denganmu bagi menyambung mata rantai perjuangan yang telah diwariskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tuan Guru dan para pejuang Islam, hayatilah sabda Rasulullah SAW ini;

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاْءً اَلْأَنْبٍيَاْءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى النَّاْسُ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِمْ فَمَنْ ثَخُنَ دِيْنُهُ اِشْتَدَّ بَلَاْؤُهُ وَمَنْ ضَعُفَ دِيْنُهُ ضَعُفَ بَلَاْؤُهُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُصِيْبُهُ الْبَلَاْءُ حَتَّى يَمْشِيَ فِي النَّاْسِ مَاْ عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ.

“Manusia yang paling hebat ditimpa ujian oleh Allah ialah para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka dan begitulah seterusnya. Manusia diuji mengikut tahap pegangan agama mereka. Sesiapa yang kukuh pegangan agamanya akan kuatlah pula ujian Allah kepadanya. Sesiapa yang lemah pegangan agamanya ringanlah ujian Allah kepadanya. Apabila seseorang ditimba ujian (dari Allah, maka akan terhapuslah dosanya) sehingga ia berjalan di tengah-tengah manusia tidak ada sedikitpun dosa yang terpikul atas bahunya”.
(Riwayat Ibnu Hibban dari Abi Sa’id r.a.)

Tulisan ini bukan untuk memuji, memuja atau untuk mempertahankan beliau. Bahkan, beliau tidak perlukan semua itu. Bagi beliau, hanya Allah SWT yang menjadi matlamat utama. Dan matlamat inilah yang menjadi benteng kukuh bagi menghalang putus asa, kecewa dan merasa lemah menerobos dalam dirinya. Saya yakin dan pasti.

Dalam respon beliau terhadap suara-suara gesaan terhadapnya supaya berundur, beliau menyatakan sebagaimana kenyataan Saidina Uthman bin Affan ketika diminta meletakkan jawatan sebagai khalifah.

“Saya tidak akan menanggalkan pakaian yang dipakaikan oleh Allah SWT”.

Khamis, 5 November 2009

Lagi Tentang WAHABI....

Aku tak pandai nak menulis berkenaan isu ini, tetapi aku amat setuju dengan pandangan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Jelas dan padat.baca dan ambil pengajaran, isu-isu yang iketengahkan oleh ustaz zaharuddin ada aku sentuh dalam beberapa kuliah aku sekadar membuka minda rakyat Malaysia agar lebih ber"ILMIAH" dan tidak "TAASUB", 2 kalimah yang aku pinjam dari Ustaz Hasrizal dalam catatannya berkaitan isu Dr.MAZA.Berikut aku sertakan catatan asal UZAR yang aku copy dari blog beliau....


Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.


Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Sebagai contoh:

tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi, menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki, tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi. Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.
Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.


Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.
BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"

"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة
" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم
Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه
Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Nov 2009

Aku Rindu....

4 tahun setengah bukan tempoh yang pendek, sepanjang tempoh tersebut lah aku belajar tentang kehidupan di sebuah Negara yang bernama Syria, kalau di ikutkan hati Syria bukan tempat pilihan untuk aku menyambung pencarian ilmu, tapi takdir telah menentukan aku terbang juga kesana pada bulan ogos 2002, Alhamdulillah setelah 4 tahun lebih di sana, aku melangkah pulang ke tanahair dengan sedikit pengalaman yang mengajar aku erti kehidupan. Waktu di sana rindu untuk balik ke Malaysia memang sentiasa ada, di tambah dengan perangai arab yang membuatkan kita akan memaki seranah arab setiap hari. Tapi bila kaki telah menjejak bumi malaysiaa, hati aku mula rindu pada bumi barakah Syam, rindu pada mutiara ilmu dan untaian hikmah dari “masyaikh” Syam. Rindu pada kesegaran cuaca syam, rindu pada kehebatan semangat solahuddin ayubi yang pusaranya berhampiran masjid Umawi, rindu pada suasana kemeriahan ramadhan, rindu pada kebaikan sebahagian warga Syam, rindu pada syawarma, falafel, dan berbagai2 lagi juadah ala syam. Dan aku rindu segala2nya tentang Syam. Alhamdulillah, raamadhan 1430/2009 setelah 3 tahun bumi Syam aku tinggalkan , aku menjejak kaki semula di Syria melalui jalan darat merentasi Jordan, 2 minggu aku di Syria , sedikit sebanyak kerinduan tadi terubat. Tapi aku hairan bila sampai di bumi syam, karenah arab dengan budaya dan perangai mereka sudah cukup untuk melayu yang berjiwa lembut akan sentiasa memaki hamun. Dari pemandu teksi sehingga ke pagawai imegresen, kebanyakkan mempamerkan perangai HIMAR mereka, undang2 dan peraturan sekadar di bukukan tetapi tidak dilaksanakan , sistem yang tidak bersistem.mudah cerita keadaan serabut tanpa peraturan seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat arab, maka tidak hairan kalau ramai pelajar Malaysia tidak mempunyai visa lantaran urusan mendapatkan visa kdg2 berdepan karenah arab yang tidak berperaturan. Tetapi semua itu hanya asam garam kehidupan …apapun aku tetap rindu pada syam dan suasana keserabutannya!!!!!

Selasa, 3 November 2009

wahabi...

Ustaz! apakah yang dimaksudkan wahabi? boleh dak saya ikut wahabi, wahabi tu macam mana? terang sikit ustaz tentang wahabi! demikian beberapa soalan yang ditanyakan kepada aku oleh seorang jemaah sebelum aku memulakan kuliah di sebuah masjid daerah, aku pun terangkan secara ringkas kepadanya, dan aku yakin dia kurang puas dengan jawapan aku yang amat ringkas, jadi untuk jelas tentang perkara ini sila rujuk tulisan ustaz wan ji di blognya....

DOKTRIN BENCI WAHABI?

Doktrin benci wahabi sering kedengaran sejak sekian lama. Wahabi disinonimkan dengan gerakan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab. Dakwaan gerakan ini tidak bermazhab, merupakan satu tuduhan melulu; yang tidak berlandaskan perdebatan ilmu.

Muhammad bin Abdul Wahab sendiri pernah mengakui bahawa beliau bermazhab Hanbali. Jika ini berlaku, bagaimana tuduhan tidak bermazhab dilemparkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab?

Hakikatnya, pertembungan yang berlaku hanyalah, dakwaan sahaja. satu pihak mendakwa, mereka sebenarnya ahl As-Sunnah wa Al-Jamaah. Satu pihak yang lain pula, mendakwa bahawa mereka sebenarnya ahl as-sunnah wa al-jamaah, disamping menafikan satu pihak yang lain.

SALAFI DAN KHALAF

Jika membaca balik sejarah kelahiran istilah salafi dan Khalaf, mungkin kita agak memahaminya. Apa yang ingin diulas, golongan yang mendakwa sebagai salafi pada asalnya adalah dari kelompok yang mendakwa sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal, atau dikenali sebagai “hanabilah”.

Mereka adalah penerus kepada perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal yang berhadapan kesesatan golongan muktazilah yang telah menyebarkan kesesatannya kepada masyarakat umum.

Dari itu, golongan hanabilah mula membicarakan perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid yang turut menyentuh mengenai “ayat mutasyabihat”. Hasil dari perbincangan tersebut, maka lahirlah pegangan yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal sebagai mewakili perbincangan beliau. Seterusnya, ia telah menimbulkan pertikaian sesame hanabilah sendiri dalam kontek penyandarannya kepada Imam Ahmad bin Hanbal.[1]

Kemudian dari itu, lahir pula Imam Abu Al-Hasan Al-Ashari dan pengikutnya yang digelar sebagai “Ashaa’irah”. Kelahiran mereka adalah selepas zaman Imam Ahmad bin Hanbal yang membawa pendekatan mutakallimin untuk mempertahankan aqidah ahl al-sunnah wa al-jamaah dalam menghadapi muktazilah. Namun, konsep dan pandangan asaariyyah itu tidak dapat diterima oleh mereka yang berpegang dengan pendekatan generasi awalan dari kalangan yang mendakwa pengikut Imam Ahmad bin Hanbal[2].

Para ashaairah mengisytiharkan bahawa mereka mempertahankan akidah islam dengan perantaraan ilmu kalam atau pendekatan logic akal dan menganggap sebagai kesinambungan daripada generasi salaf. Lantas mereka menggelarkan diri mereka sebagai khalaf sebagai perbedaan terhadap mereka yang sebelumnya. Berikutan itu, gelaran salaf mula digunakan sebagai lawan kepada gelaran khalaf.[3]

Pertelingkahan yang sengit di antara salafiyyah hanabilah dan ashaairah tercetus disebabkan kemunculan pendirian salaf semasa teguhnya kedudukan ashaairah dalam mendominasi bentuk pegangan tauhid umat Islam sejak sekian lama. Kemunculan ketika itu seolah-olah mencabar pengaruh ashairah sehingga masing-masing mendakwa sebagai mewakili pegangan sebenar generasi salaf.[4]

Apa yang dapat difahami dari kupasan ringkas ini, hakikat sebenar perbedaan ini berlaku, ekoran dari cara dan kaedah mereka berhadapan dengan muktazilah sahaja. Puak yang didakwa salafi, menggunakan method Hanabilah dalam berhadapan dengan Muktazilah, adapun Khalaf menggunakan method Asha’irah dalam berhadapan dengan Muktazilah.

Kedua-dua method ini, sebenarnya mempunyai satu matlamat, iaitu berhadapan dengan muktazilah. Ia sama seperti mahu ke kelantan, sama ada menggunakan laluan Kuala terengganu, ataupun menggunakan laluan Gua Musang.

METHOD HANABILAH DAN ASYA’IRAH

Method hanabilah dalam berhadapan dengan Muktazilah, lebih kepada berhujjah terus dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Adapun Asyairah, method menghadapi muktazilah dengan cara mengemukakan hujjah aqli terlebih dahulu, kemudian mengkuatkannya dengan merujuk kepada kandungan al-Quran dan as-Sunnah.

Ia sama seperti kita memahamkan non Muslim dengan islam dengan terus merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, ataupun dengan cara mengemukakan pembuktian sains terlebih dahulu, baru dikemukakan dokongan al-Quran dan as-Sunnah.

Jika difikirkan, di manakah salah antara dua kaedah ini? yang menjadi perbalahannya adalah, apabila tidak memahami hakikat khilaf bermethod sahaja.

JAIS DAN WAHABI

Wahabi adalah satu gerakan yang sebenarnya merujuk kepada gerakan dakwah yang disambung dari Imam Ibnu Taimiyyah, sedangkan Imam Ibnu taimiyyah sendiri adalah seorang tokoh ulama yang menyambung perjuangan Hanabilah.

Tidak dinafikan, JAIS amat negatif terhadap perkembangan gerakan dakwah Wahabi ini. ini lebih menjadi rumit, apabila ia sudah melibatkan luar dari isu asas, iaitu seperti masuknya isu Tahlil Arwah, Talqin mayat, Qunut Subuh dan sebagainya.

Keberadaan sebilangan ustaz-ustaz yang amat membenci Wahabi di dalam JAIS, menyebabkan pertembungan ini sering berlaku, dan tidak terhenti-henti sehingga sekarang. walhal, perkara ini boleh diselesaikan dengan kaedah toleransi yang sememangnya wujud dalam fiqh islami.

Tidak dinafikan, tahlil arwah, talqin mayat dan seumpamanya, sememangnya tidak wujud dalam mazhab as-Syafie, tetapi ia tidak bermakna, ia tidak wujud pada pendapat-pendapat ulama-ulama yang lain.

Makanya, apa yang hendak ditekankan disini adalah, pertembungan tentang salafi dan Khalaf atau Wahabi dan Asy’ari merupakan pertembungan yang tidak menguntung Islam sama sekali, kerana ia boleh diselesaikan dengan kaedah yang menyebut, ’kita bertoleransi dalam perkara yang dikhilafkan oleh ulama, dan bersatu teguh dalam mempertahankan perkara yang disepakati’.

Sebaliknya, jika tetap pertembungan ini diteruskan juga, ia hanya berjaya melahirkan polimik yang tidak berkesudahan, yang sudah pasti akan menyebabkan non Muslim akan berjauhan dari islam, dan seterusnya melambatkan kemenangan islam.

Yang paling penting bagi kita di Malaysia kini adalah, fokuskan kepada menyerang Muktazilah moden. Yang jika di Malaysia, Muktazilah moden itu adalah UMNO – Laknatullah alaih.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Selasa, 8 September 2009

ZAKAT FITRAH

CARA MENGAGIHKAN ZAKAT FITRAH
Soalan;Assalamualaikum. Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 org. anak kepada orang cacat. Zakat itu saya terus bagi kpd.nya.Semua zakat itu sebanyak Rm50 cth.nya saya bagi kepadanya.sahkah zakat sayaJawapan;Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah. Hukumnya adalah seperti berikut;1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;a)Untuk golongan fakirb)Untuk golongan miskinc)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agamad)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakate)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinyaf)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutangg)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2] Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada. Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat. Wallahu a’lam.Rujukan;1. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 912)2. al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 4693. ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221.Nota Hujung;[1] Berkata Imam asy-Syaukani; “…Adapun pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana pengagihan zakat yang lain kerana Rasulullah menamakannya dengan zakat… Akan tetapi, hendaklah didahulukan orang-orang fakir kerana terdapat arahan dari baginda supaya mencukupkan mereka pada hari raya. Kemudian, yang selebihnya dari keperluan mereka barulah dibelanjakan untuk golongan-golongan yang lain”. (Lihat; ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221) Pandangan Imam asy-Syaukani ini dipersetujui oleh ulama’-ulama’ semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qradhawi (dalam Fiqhu az-Zakahnya) dan juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (dalam Minhajul-Muslim).[2] Cara pengagihan hendaklah bergantung kepada keperluan, maslahah, kecukupan serta kadar zakat. Dalam memberi zakat, pemberi zakat hendaklah mencari orang yang paling berhak menerima zakatnya berbanding orang lain. Namun ia tidak dituntut supaya menyama-ratakan semua orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin yang ada dalam negeri atau kampungnya kerana pada zaman Sahabat sendiri, orang Islam biasa membayar zakat fitrah bagi diri dan keluarganya kepada seorang fakir sahaja. (Rujuk; al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469).
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Rabu, 5 Ogos 2009

catatan 1 ogos

Walaupun agak terlewat, rasa macam kena jugak buat sikit catatan sebagai kenangan yang aku jugak terlibat merasai “detik emas” ( meminjam istilah Ustaz Fairuz Hafiz ) tersebut.
Nak bertolak awal dari ipoh tak boleh sebab ada pengisian kuliah subuh pada pagi sabtu yang memang dah dijanjikan lebih awal, selesai kuliah lebih kurang 7.45 pagi aku dan dan seorang kawan bergerak menuju ke Kuala Lumpur dengan niat yang suci untuk turut serta dalam demontrasi MANSUH ISA, kami mengambil laluan masuk simpang pulai, seperti yang diduga sekatan polis ada di setiap pintu masuk lebuhraya, konon nak menggabrakan orang…..tapi ternyata rakyat Malaysia yang cerdik dah tak takut dengan semua tu.!..sampai di tapah kami berhenti untuk sarapan, d R & R tapah dah boleh kalau nak buat demontrasi..penuh dengan warga Malaysia yang punya hati nurani untuk turun Unjuk rasa di Kuala Lumpur, sempat jumpa dengan geng dari kedah, dan mereka maklumkan kata rombongan Unit Amal dari Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan, 2 dari anggota amal dilaporkan kritikal….kami meneruskan perjalanan dan sampai di bukit beruntung, bas yang terlibat kemalangan tadi baru saja diangkat dari gaung.
Dalam perjalanan aku menghubungi sahabat yang menetap d Kuala Lumpur, bertanya jalan mana yang paling mudah untuk kami lalui, kawan aku kata lebih baik park kereta kat rawang dan ambil komuter ke bank Negara. Aku kata ok jugak…Tanya sorang lagi dia kata baik park kat sungai buloh, dekat sikit…akhirnya kami ambik keputusan, terus ja ke Gombak, dari Gombak kami letak kereta di taman melati dan ambil LRT..( Plan sama kami guna waktu perhimpunan BERSIH )
Pukul 10.45 kami sampai di masjid jamek, keadaan dah penuh dengan polis, 2 3 minit kami berada di sekitar masjid india, polis membuat tangkapan rambang, kami terus ke warung berhampiran untuk mengelak di tangkap oleh polis laknat, kawan dari johor telefon, aku kata jumpa kat masjid jamek. Kami melilau kat situ sampai waktu zohor, solat jamak di masjid india, dari masjid india keluar dengan kumpulan besar dipimpin oleh Dato’ Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad..baru mula berarak keluar jalan polis dah mula tunjuk tanda akan buat kacau, dan ternyata sepanjang perarakan sebelum sampai di Sogo serangan polis mula membabi buta, di Sogo jumpa lagi dengan kawan2 yang dah lama tak jumpa, tak sempat nak sembang lama polis buat kacau lagi, tembakan gas dan pancutan air terus menerus seperti sedang berada di bumi Palestin, semua menyelamatkan diri lintang pukang, tapi aku kagum dengan Tian Chua, dia selamba ja walaupun aku yakin dia jugak pedih mata..
Episode gila babi polis berterusan sampai pukul 5 di kawasan sogo dan sekitarnya sampai ke pejabat PAS, kami bergerak ke stesen LRT dengan polis masih dok tak puaih hati ……
Aku tak tau nak tulih panjang, cukup aku katakan 1 ogos merupakan hari memaki polis, dan jangan terkejut kalau lepas ni rakyat berhimpun pula mendesak dimansuhkan FRU..!!!!
- Maaf, catatan ini agak lintang pukang,,,yang dok ingat dalam kepala kata-kata seorang teman, PELAQ PUNYA POLIS ( pelaq sejenis kata makian yang tiada maksud )

Isnin, 27 Julai 2009

Haram Dan Haram Jadah

Seorang Ustaz mengajar di sebuah Masjid, tajuk yang dibahaskannya berkenaan dengan aurat wanita, selesai dia mensyarahkan tajuk tersebut, dia membuka ruang untuk soal jawab, seorang jamaah bertanya, Ustaz! apakah hukum seorang perempuan yang menutup aurat tetapi bertabarruj? ustaz menjawab, hukumnya HARAM, sambung jamaah tersebut, bagaimana pula hukumnya seorang yang mendedahkan aurat dan bertabarruj? maka ustaz pun menjawab, hukumnya HARAM JADAH........

Menunggu Kata Dari Tuhan

Pada 19 Julai yang lalu, aku sempat mengikuti persembahan teater “Menunggu kata dari tuhan” yang dipentaskan di Kolej Universiti Insaniah, Kedah. Teater yang diadaptasi daripada hadis panjang riwayat Bukhari Muslim, berkenaan dengan kisah 3 sahabat yang tidak keluar perang tabuk yang menyebabkan mereka diboikot oleh Nabi dan para sahabat yang lain sehinggalah turun penyataan penerimaan taubat dari Allah. Ilham dari Dinsman untuk mementaskan hadis ini dalam bentuk teater merupakan langkah terpuji yang seharusnya diberi sokongan. Bila aku menonton teataer ini, walaupun hanya menampilkan seorang pelakon iaitu Sabri Yunus di gandingkan dengan gesekan biola oleh Sani Sudin tetapi ia sebenarnya mampu untuk member kefahaman kepada khalayak tentang hadis ini, yang mungkin tidak mudah untuk dihurai oleh Ustaz-ustaz yang mengajar hadis secara syarahan sahaja.
Bila menulis tentang teater, aku sebenarnya punya kenangan kerana pernah juga terlibat dalam pementasan teater (walaupun boleh dikategorikan peringkat kekampungan sahaja). Kali pertama terlibat dalam teater ketika di tingkatan 3,(1997) kebetulan waktu itu diadakan majlis pelancaran antologi puisi Niamaty, karangan Syeikh Niamat Yusof, dibawah kelab kesenian Maahad Tarbiah Islamiah, Derang kami ditugaskan untuk mementaskan sebuah teater yang dipetik dari puisi susunan Niamaty. Dibawah arahan “Pak Tam Suhaimi” penggiat teater kedah darul aman kami diberi tunjuk ajar secara professional, walaupun dalam teater yang berjudul “antara dua hakikat” tersebut, aku hanya bertindak sebagai pelakon tambahan tetapi ia member pengalaman yang cukup hebat kepadaku. Pak tam sering mengingatkan kami bahawa semua yang terlibat adalah penting tidak kira apa watak dan peranan yang dipegang sekalipun. Kami agak bangga kerana pementasan kami pada malam tersebut disaksikan oleh tokoh-tokoh sasterawan Negara termasuk Dato’ Shahnon Ahmad dan Tan sri Ismail Hussin.
Pengalaman kali kedua lebih menarik, pada tahun 2002, Nadwah Persuratan Islam (NAFIS) menganjurkan malam kesenian islam di IPDA, kedah. Penganjuran majlis tersebut turut mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka, kami sekali lagi dipilih untuk turut serta dalam teater yang akan dipentaskan. Juga dibawah arahan Pak tam Suhaimi. Kali ini 2 teater yang ditampilkan, satu teater pendek berjudul “Solahuddin Al-Ayubi” (yang aku salah seorang pelakon utamanya, selain 3 orang sahabat, sdr. Wan farihan, sdr. Ehsan dan sdr.rashid mukhid )dan satu lagi teater dari sebuah puisi karya Niamaty. Latihan untuk teater kali ini memakan masa hamper sebulan. Pak Tam dibantu oleh 2 anak muda, Saudara Ed, dan Sdr shahrul (kalau tak silap ingatan saya) yang merupakan pengarah muda teater terbaik kebangsaan. Latihan dijalankan di MTID, dan diselang seli dengan latihan di Taman Budaya Negeri, Alor Setar. Sepanjang latihan kami didedahkan dengan berbagai bentuk dan teknik pementasan yang sebenarnya. Corak latihan juga amat disiplin dan kadang2 agak keras. Bermula dengan latihan suara, gerakan anggota dan teknik menggunakan ruang pentas semuanya diajar secara ikhlas oleh Pak tam dan anak2 buahnya. Hasilnya persembahan kami pada malam kesenian islam tersebut Berjaya dan mendapat respon baik dari hadirin.
Sebenarnya 2 pengalaman itu mengajar kepada aku serba sedikit tentang dunia teater, Pak Tam ( telah kembali ke Rahmatullah ) berulangkali menyarankan kepada kami untuk mencuba menyertai festival teater, kata paktam, buktikan bahawa teater islam yang tidak mencampur adukan lelaki dan permpuan juga boleh kedepan, tetapi hasrat paktam dan juga hasrat Almarhum Syeikh Niamat Yusof tidak ada lagi yang cuba merealisasikannya. Apapun, sebenarnya teater boleh diangkat sebagai medium menampilkan budaya islam. Syabas kepada Dinsman yang berani meneruskan langkah mengahsilkan karya Islam tanpa jemu, ayuh kita ber sokongan dan kepada penggiat seni yang lain, satu pertanyaan, anda bila lagi mahu menyumbang sesuatu untuk Islam??

Khamis, 23 Julai 2009




antara menu yang selalu disantap sewaktu hidup di Syria.....apa komen anda bila tengok roti macam tu....????

Gerhana Penuh 22 Julai 2009

"Orang beriman melihat gerhana sebagai satu tanda kebesaran ALLAH, Orang yang tidak beriman melihat ia sebagai satu fenomena alam"

JOM DEMO!!!!


Khamis, 16 Julai 2009

kisah Rumah

Berpindah rumah merupakan satu perkara yang amat memenatkan, tetapi bagi pelajar-pelajar Malaysia di Syria, fenomena pindah rumah memang satu kewajipan, sepanjang 4 tahun lebih berada di Syria, 7 kali aku terpaksa berpindah randah.
Sewaktu mula menjejak kaki di bumi bertuah Syria, aku ditempatkan di rumah senior-senior, kebetulan beberapa ahli rumah tersebut pulang bercuti, jadi aku dan kawan2 baru ditempat sementara di situ. Rumah yang mempunyai 4 bilik (1 bilik ditutup untuk jin bertendang) agak luas kerana terdapat “sahah” atau ruang terbuka yang boleh dijadikan gelanggang Takraw. Tuan rumah tersebut Abu Yasin, seorang yang suka berleter setiap kali datang memungut duit sewa, pasti ada saja benda yang tak kena, selalunya dia berleter sebab rumah kurang bersih katanya, menjadi kebiasaan arab rumah akan dibasuh setiap minggu, tapi orang belum tentu akan mandi sekali dalam seminggu, termasuk Abu Yasin!! Harga sewa rumah pertama ini LS 6000 ( lebih kurang 400 RM)
Lebih kurang 3 bulan lebih aku menetap disitu, aku berpindah ke rumah sebelah, yang memerlukan ahli rumah setelah beberapa orang telah pulang ke Malaysia. Rumah ini agak kecil kerana hanya mengandungi 2 bilik, dan bersambung dengan pemilik rumah yang hanya menetap ketika musim panas, kerana dia bermastautin di Arab Saudi. Penghuni rumah ini hanya 4 orang dan harga sewa juga LS 6000.
Tak ingat secara pasti berapa lama aku menetap di rumah kedua ini, aku berpindah lagi, kali ini kerumah tingkat satu berhampiran dengan rumah pertama dan kedua. Rumah ketiga ini mempunyai 3 bilik dan kami menghuni seramai 6 orang dengan harga sewa LS 6000. Tuan rumah ini menetap di Hama, kira-kira 150 Km dari damsyik menyebabkan sewa rumah kami akan bayar melalui anaknya, seorang tentera yang bertugas di Damsyik. Rupa-rupanya si anak yang menerima bayaran bulanan dari kami langsung tak disampaikan kepada bapanya, sebaliknya dia memberitahu bapanya yang kami tidak membayar sewa rumah. Tuan rumah seorang yang baik tetapi dengan sebab perangai bangsat anaknya kami akhirnya diarah keluar rumah ataupun sewa rumah akan dinaikkan. Kami memilih untuk berpindah kerana terlalu panas hati dengan perangai anaknya yang langsung tak menunjuk bersalah sebaliknya dengan mudah melemparkan fitnah yang kami langsung tak pernah membayar sewa.
Dalam masa yang terhad kami terpaksa mencarai rumah segera, memang susah nak cari rumah kerana waktu tersebut musim panas, menjadi kebiasaan arab menaikkan berkali ganda sewa rumah musim panas kerana permintaan yang tinggi khususnya dari pelancong2 negara teluk. Dalam keadaan yang terlalu memerlukan rumah, kami ditemukan dengan sebuah rumah a’rabi (rumah lama arab) yang sudah tidak dihuni hampir 20 tahun. Rumah ini agak luas kerana mempunyai 6 bilik dan ruang tengah serta “Sutuh” ( bumbung atas ). Tambahan mempunyai 3 buah tandas. Kami memasuki rumah ini dan terus melakukan pembaikan termasuk mengecat semula. Sewa yang diletakan ialah LS 7000, agak tinggi dibandingkan dengan keadaan rumah yang hanya seperti kandang lembu! Namun kami hanya sempat duduk 2 minggu di rumah ini, masalah timbul kerana rupa-rupanya system perparitan rumah ini langsung tak berfungsi. Apapun tak boleh nak buat, kalau nak mandi, air akan melimpah ke ruang tamu, apalagi kalau qada hajat, memang najis akan terapung di ruang tengah rumah! Lebih parah kami dah mendahulukan sewa rumah selama 3 bulan.yang sudah tentu duit tersebut tak akan dikembalikan, bayangkan LS 21000 (lebih kurang Rm 1,500) melayang macam tu saja, duit tu pula adalah hutang kami dari Syeikh Rushdi Al-qalam.....memang haru!!
Parah tadi bertambah luka, tuan rumah, seorang perempuan tua, yang kami ajak berunding tidak mahu berunding sebaliknya menyalahkan kami dan dengan selamba menghalau kami keluar dari rumah dengan syarat duit pendahuluan 3 bulan tidak akan dikembalikan! Pelik……
Dalam keserabutan melayan karenah arab yang langsung tak berhati perut, kami berusaha mencari rumah baru, dan Alhamdulillah kami mendapat sebuah rumah melalui “Maktab A’qari” (broker rumah sewa)rumah kali ini agak selesa, mempunyai 4 bilik dan ruang tamu yang luas.harga sewa kali ini meningkat menjadi LS 10,000. Jumlah kami ketika itu 8 orang, A’qari memberitahu tuan rumah yang kami hanya 3 orang, ( sewa rumah akan ditetapkan berdasarkan jumlah orang ). Tuan rumah seorang yang baik, dia tahu yang kami lebih dari 3 , tetapi dia memahami keadaan kewangan seorang Tholib Ilm seperti kami. Masalah rumah ini hanya elektrik…seringkali menghadapi bekalan yang kurang cukup, kerana kawasan ini ialah kawasan “Suq Satelite” ( pasar satelit ) yang memang menggunakan jumlah elektrik yang tinggi. Setahun kami menyewa disini, tiba-tiba tuan rumah menyuarakan akan menaikan sewa menjadi 15,000.dia memberi tempoh 3 bulan sekiranya kami bersetuju atau berpindah kerumah lain. Kami memilih untuk mencari rumah baru. Kalau sewa 10,000 pun “jenuh pekin” ni pulak 15,000.
Melalui sebuah maktab A’qari, kami mendapat rumah di “Syaghur” rumah mempunyai 4 bilik dengan sewa rumah LS 8,000. Syaratnya hanya 4 penghuni dibenarkan, kami terpaksa mengatakan ya, tapi jumlah sebenar kami 6 orang. Rumah ini agak seronok sebab dekat dengan sekolah, hanya berjalan kaki lebih kurang 5 minit, sudah jimat duit tambang “service”.tapi skripnya macam biasa, tiba-tiba Aqari menyatakan akan menaikkan sewa rumah menjadi LS 12,000. Sekali lagi kami bertungkus lumus mencari rumah, sehingga kawasan kampong kami jelajah, namun sukar nak jumpa rumah yang mampu kami duduki. Akhirnya kami mendapat rumah berhampiran Jami’ Mustofa dengan sewa LS 10,000. Rumah 3 bilik ini aku duduk sampailah aku balik keMalaysia, dan selepas aku balik, kawan2 aku berpindah pulak kerumah lain…!!!! Begitulah coretan ringkas tentang rumah-rumah yang pernah aku duduk di Syria. Sebenrnya banyak sangat perkara yang nak disentuh kalau berbicara pasal rumah, setiap rumah sewa kami perlu dahulukan sewa sebanyak 3 bulan. Bayangkan kami yang hanya bergantung kepada duit poket dari mak ayah terpaksa meminjam dari kawan2 ataupun Syeikh2 semata-mata untuk sewa rumah.
Benar kata seorang kawan, di Syria ni kalau dapat tuan rumah yang baik dan jiran yang baik, aman….tapi selalunya tak bertemu , kalau tuan rumah baik, jiran pula penyebab nak kena pindah begitulah sebaliknya……

Isnin, 13 Julai 2009

............................

Meon : Man! Kalau hang nak tau, kat kampung aku ikan punya banyak, kalau selak2 padi memang Nampak ikan teruih, tak payah dok tahan pukat, tangkap dengan tangan ja…..
Man: Kampung aku lagi becambah, selak-selak ikan baghu Nampak padi!
Meon:?????
Moral: Apabila masing-masing suka bohong…..jadilah macam ni!!

Rabu, 6 Mei 2009

R.............T...............M..........

Semua kita tau yang makna rtm ialah radio televisyen Malaysia, tapi Ustaz Shahril Long memberi makna RTM yang lebih menarik……..
REJIM THOGHUT MALAYSIA
REHAT TUNGGU MAMPUIH
RONDA TEMPAT MENGAJI

Terkenang semasa dulu.....

Semasa aku mengikuti pengajian di Syria, aku mengenali seorang Syeikh yang bagi aku cukup hebat, Syeikh tersebut ialah Syeikh Sulaiman Az-Zabibi. Seorang Syeikh yang memang sangat terkenal dikalangan pelajar Maahad Fatah sebagai seorang Syeikh yang cukup “Syadid”.
Ketika aku di tahun satu Syeikh Sulaiman mengajar Al-quran, tahun dua pula dia mengajar Fiqh Kitab, atau dikenali juga Tafsir Ayat Ahkam, setiap kali subjek ini pasti kelas tak akan sunyi dari munaqasyah antara Syeikh dengan para pelajar, khususnya pelajar dari Tunisia, Maghribi dan beberapa Negara lain yang memang suka untuk bermunaqasyah. Tambahan pula Syeikh Sulaiman memang sangat suka menimbulkan isu-isu yang boleh menarik pelajar untuk bermunaqasyah. Tetapi satu perkara yang amat menarik bagi Syeikh Sulaiman ialah, apabila menjelang peperiksaan semua pelajar yang mengambil subjeknya, pasti akan gerun, dan ramai yang boleh memberi keputusan sebelum periksa lagi, bahawa dia akan gagal. Kerana setiap tahun dari hampir 300 orang yang mengambil kertas Fiqh Kitab, hanya ¼ atau sedikit dari itu yang akan lulus, subjek Syeikh Sulaiman memang subjek yang amat susah, bukan kerana isi pelajarannya tapi kerana yang mengajar itu ialah Syeikh Sulaiman!
Pernah seorang pelajar bertanya kepada beliau kenapa susah sangat dia nak lulus Fiqh Kitab, Syeikh Sulaiman memberi jawapan yang lebih umum, katanya lebih kurang “ kalau seorang guru member 100 % markah kepada pelajarnya, ada yang tidak kena dalam sistem tarbiah guru tersebut, begitu juga kalau seorang guru tidak memberi sebarang markah kepada pelajarnya, sistem tarbiah guru itu juga tidak betul. Mana mungkin seorang pelajar tidak tahu apa-apa dan mana mungkin seorang pelajar mengetahui semuanya” demikian lebih kurang jawapan Syeikh Sulaiman yang aku ingat.
Hari ini bila aku jadi guru ( walaupun bukan guru sangat pun ) aku memahami apa yang Syeikh Sulaiman ucapkan, kepada murid-muridku, jangan bimbang, kalian tidak akan mendapat 0 walaupun kertas yang dihantar tidak dicatat apa-apa.tetapi ingat kalian tidak akan mendapat 100 markah walaupun jawapan anda seolah-olah tepat semuanya, kerana aku sudah memahami maksud kata-kata Syeikh Sulaiman !!

Sabtu, 25 April 2009

Pening......

Kata Mohamed Nazri, keputusan itu adalah berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi) Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

* apa nak jadi kalau soal agama Islam pun diserahkan keputusannya kepada orang bukan Islam....kalau Nizar lulus tanah untuk cina semua bising, sedangkan itu hak mereka, di mana suara suara itu bila Islam diserahkan kepada Tsu Koon dan Subramaniam...sekadar pertanyaan... kitab mana yang dirujuk oleh Ustazah Sharizat???

Siput Babi

Jumaat lepas, sembahyang Jumaat di Masjid tengku husin, Manjoi. Selepas habis tazkirah Jumaat,seperti biasa Cikgu Shahdan (timbalan pengerusi masjid ) akan mengambil kesempatan untuk mengumumkan beberapa perkara, tapi sebelum apa-apa pengumuman dibuat dia memulakan celoteh dengan menyebut “ tazkirah kita hari ni ok ja, tak dak isu politik kan, kena sebut juga, sebab lani ramai sangat yang datang masjid untuk solat jumaat,tapi dalam pada masa yang sama jadi mata –mata gelap, SB atau ringkasnya SIPUT BABI” , seronok jugak dengar celoteh cikgu Shahdan yang memang tak pernah kering idea, sudah tentu yang tak seronok ialah mereka yang terkena batang hidung!

Sekadar peringatan untuk PR Kedah

Ketika pemerintahan BN di Kedah, antara perbualan yang agak top di kalangan penyokong PR ialah tentang sidang DUN Kedah yang hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam setiap kali sidang, perkara tersebut bukan menjadi rahsia kepada semua warga Kedah,dan setiap kali orang yang komen tentang perkara ini akan menyebut “ apa punya kerajaan, mesyuarat 2 jam saja, mesyuarat pakatan pinggan mangkuk lagi lama, macam mana nak perintah negeri kalau lagu ni” demekian kurang lebih rungutan yang pernah aku sendiri dengaq termasuk dari barisan pimpinan PR.
Minggu lepas, aku sempat hadir ke sidang DUN kedah yang berlangsung pada 19 april, mesyuarat kali ini meneruskan tradisi kerajaan BN dulu, hanya memakan masa dua jam. Bila aku keluar nak balik, tersempak dengan seorang hamba Allah yang memang dah lama tak jumpa, aku tanya sebab apa tak masuk dewan, jawab dia, “nak dengar apa, takat mesyuarat dua jam ja, dulu sakan sangat kata kt UMNO mesyuarat dua jam, lani depa pulak yang dok buat perangai macam tu, mesyuarat PIBG sekolah lagi lama”beleter hamba Allah yang memang sedap di dengar kalau dia berleter.
Jadi, sekadar nak pesan kepada kerajaan PR di Kedah, jangan teruskan tradisi BN yang kurang baik , teruskan yang baik tapi perbaiki segala yang buruk agar rakyat tak muak dan akan beralih ke BN semula. Kalau dulu kita marah sebab mesyuarat hanya dua jam , tak sempat nak berbahas isu negeri maka waktu kita perintah ni ambil la peluang untuk menunjukkan yang PR mengamalkan politik yang lebih bersih dan terbuka…..

Bohong sunat

Ketika kecil aku selalu mendengar orang menyebut tentang “bohong sunat” . sampai dewasa aku cuba mencari bagaimana yang dikatakan bohong sunat. Mungkin cerita yang aku petik dari MASTIKA ini boleh mebawa maksud bohong sunat.
Seorang perompak telah memcah masuk ke sebuah rumah. Dalam rumah tersebut hanya ada sepasang suami isteri, perompak telah bertindak mengikat tuan rumah dan mengeledah isi rumah….selesai merompak barang2 berharga perompak bertanya kepada si isteri…….
Perompak: Menjadi kebiasaan saya, saya akan membunuh orang yang saya rompak, tetapi saya perlu mengetahui nama mereka, boleh saya tahu nama puan?
Tuan rumah (Isteri) : Nama saya Maryam.
Perompak: Nasib puan baik, saya tak akan membunuh orang yang bernama Maryam, kerana nama ibu saya juga Maryam
Tuan rumah (Isteri): fuhhhhhhh, leganya(sambil mengusap dada)
Perompak: Boleh saya tahu nama tuan pulak.?
Tuan rumah (Suami):eeeeeeee, nama saya Ramli, tapi semua orang memanggil saya Maryam.
Perompak: Memang nasib kamu malam ni baik…….sambil keluar dari rumah membawa barang rompakan….
Moral: Kena cerdik dalam setiap tindakan…..

Mencari permata bernama Khalid Al-Walid


(Gambar sebelah ialah makam Khalid Al-walid)Khalid Al-walid, nama seorang sahabat yang cukup agung, ketangkasannya di medan perang merupakan catatan sejarah yang pasti tidak hilang. Bahkan gelaran pakar strategi perang semenjak era jahiliah hingga keakhir hayat seakan akan cukup sinonim dengan peribadi Khalid Al-walid.
Ketika detik mula Nabi S.A.W mengajak umat Quraish untuk mengambdikan diri kepada Allah, Khalid tergolong dalam barisan pembangkang Nabi, beliau berada dalam barisan hadapan bagi menghalang segala usaha dakwah baginda Muhammad S.A.W. sehingga riwayat yang pasti diingati oleh kita semua, bagaimana ketika peperangan uhud, Khalid lah yang menjadi pencatur yang membawa kepada kekalahan tipis tentera muslimin.
Namun semua itu berlalu begitu sahaja, apabila sinar Iman dan Islam menerpa masuk ke kalbu Khalid, beliau telah bertukar 360 darjah, lalu menjadi seorang pejuang setia untuk mempertahankan Nabi dan Islam, kepintarannya dalam menyusun teknik dan taktik perang ternyata diguna sebaik mungkin oleh baginda Nabi untuk memastikan Islam dipertahankan dan disebar luaskan.
Setelah kewafatan Nabi, Syaidina Abu Bakar R.A tetap meletakkan kepercayaan kepada Khalid untuk terus memimpin tentera Islam, dalam peperangan Yarmuk yang berlaku dihujung pemerintahan Abu Bakar, Khalid telah diarah mengetuai sejumlah 25 ribu tentera muslimin untuk ke Yarmuk bagi berhadapan tentera Rom. Ketika jendela perang disingkap, Abu Bakar telah dijemput kembali ke Rahmatullah, Syaidina Umar telah dipilih menjadi Khalifah, di antara tindakan awal Umar ialah memecat Khalid dari panglima perang dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-jarrah. Khalid yang berada di medan Yarmuk pada ketika menerima arahan pemecatannya lantas menyerahkan tugas selaku panglima kepada Abu Ubaidah Al-jarrah tanpa sedikit pun mmerasa kecewa. Apabila sebahagian sahabat bertanya kepada Khalid, tidakkah beliau kecewa dan marah dengan tindakan Umar tersebut, seraya Khalid menjawab bahawa apa yang Umar lakukan memang tepat kerana katanya Umar lebih layak menetukannya kerana beliau lebih dahulu memeluk Islam. Alangkah tulusnya jawapan seorang yang berjiwa besar dan sudah tentu jawapan itu terbit dari hati yang cukup bersih.
Satu perkara menarik ialah ulasan dari Dr. Ali Shallaby ketika menghuraikan sebab Umar menggugurkan Khalid sebagai penglima, ini kerana ketika Abu Bakar menjadi Khalifah, beliau memang terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, mudah menangis maka sesuailah panglima yang dipilih itu seorang yang keras, tegas seperti Khalid. Adapun Umar memang terkenal dengan keras dan tegas maka sesuailah panglima perangnya Abu Ubaidah seorang yang lemah lembut. Sekiranya Umar tetap mengekalkan Khalid sebagai panglima, maka sudah tentu berlaku pertembungan pendapat kerana kedua-duanya bersifat tegas dank eras.
Tindakan pemecatan Khalid juga bukan kerana Khalid tidak berani, tetapi kerana Khalid terlebih berani sehingga orang yang menjadi pengikutnya tidak mampu untuk membuat apa yang dibuat oleh Khalid.
Demekianlah Khalid Al-walid, panglima hebat Islam yang melalui sejarah peperangan yang cukup gemillang, namun takdir Allah, Khalid tidak gugur syahid dalam peperangan yang diikutinya,sebaliknya Khalid kembali menemuiNYA diatas katil.
Kesimpulannya, amat indah sejarah para sahabat, termasuk Khalid, bagaimana mereka sanggup mengorbankan segalanya untuk mendaulatkan Islam, dunia hari ini sedang mencari tokoh persis Khalid yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah, bukan kerana pangkat,jawatan dan habuan. Khalid tidak pernah kecewa jauh sekali berdendam biarpun dilucutkan jawatan yang layak baginya. Apakah akan muncul Khalid Al-walid abad ini??

Sekadar Catatan


Pagi ni aku hadir menemani seorang rakan ke sebuah sekolah menengah untuk menghadiri satu ceramah berkenaan solat, bila sampai kesekolah, rakanku telah mengenakan aku, aku di minta terlebih dahulu untuk membentangkan berkenaan kepentingan solat yang akan membentuk peribadi muslim. ketika membentang secara ringkas berkenaan solat dan kepentingannya, kesimpulan ringkas yang aku buat, betapa pelajar sekarang amat kurang terdedah dengan solat, bahkan daripada jumlah 100 peserta lebih kurang, kebanyakan menunjukan yang mereka langsung tidak mengambil berat tentang solat. aku menghuraikan secara seringkas mungkin, mengapa kita perlu solat, kerana untuk menjadi muslim mulia yang mampu membina peribadi. Rakanku juga telah membentangkan secara amali berkeneaan solat jamaah.

aku cuma nak membuat satu kesimpulan, betapa pihak kerajaan melalui kementerian pelajaran perlu memperkasakan lagi program solat bermula dari sekolah rendah. amat malang apabila pelajar sekolah menengah masih belum mampu untuk memahami berkenaan asas-asas solat. Maka tidak hairan bila generasi muda lebih terdedah dengan gejala sosial yang amat parah berpunca dari kepentingan solat diabaikan. aku tidak menyalahkan para guru-guru di sekolah, tetapi pihak berwajib perlu membuka mata memandang soal ini dengan lebih berat.

Rabu, 22 April 2009

Min Asraril Quran siri-4

IMRAN

Imran ialah kalimah A’jam yang tidak boleh ditasrifkan, perkataan Imran telah disebut sebanyak tiga kali dalam Al-quran. Iaitu dalam surah Aliimran (ayat 33 dan 35) serta dalam surah At-tahrim (ayat 12). Akan tetapi kesemua ayat tersebut tidak menceritakan tentang peribadi Imran sebalik menceritakan tentang keluarga Imran, Isteri Imran serta anak Imran. Imran dalam ketiga-tiga ayat tersebut merupakan peribadi yang sama, yang mempunyai keturunan yang mulia disampingnya isteri yang solehah serta dikurniakan anak perempuan yang suci lagi terpuji.
Dalam sumber-sumber Islam mencatatkan bahawa terdapat dua peribadi agung yang bernama Imran, yang pertama ialah Imran ayah kepada Nabi Musa Alaihissalam.Namanya tidak disebut dalam Al-quran tetapi dinyatakan Nabi dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud “aku menemui Nabi Musa bin Imran pada malam Isra’ mikraj” . Manakala Imran yang kedua ialah ayah kepada Maryam Radiallauanha. Imran inilah yang dimaksudkan dalam ayat Al-quran yang disebut di atas.
Kesimpulannya “ALI IMRAN” ataupun keluarga Imran yang disebut dalam surah Aliimran adalah seperti berikut :
a) Isteri Imran yang solehah, yang secara jelas disebut dalam ayat 35, surah Aliimran
b) Puteri Imran yang suci lagi agung iaitu Sadatina Maryam yang disebut dalam surah At-tahrim ayat 12
c) Anak lelaki kepada Imran iaitu Harun, saudara kepada Maryam yang namanya disebut dalam surah Maryam ayat 28.
d) Kakak kepada Maryam, iaitu seoranglagi anak perempuan Imran yang dikahwinkan dengan Nabi Zakaria Alaihissalam yang telah memelihara Maryam sejak kecil.
e) Cucu kepada Imran dari anak perempuannya yang pertama iaitu Nabi Yahya Alaihissalam
f) Cucu Kepada Imran dari anak perempuannya yang kedua iaitu Nabi Isa Alaihissalam.
Nabi Yahya dan Nabi Isa tidak pernah berkahwin maka keturunan Imran ataupun disebut Aliimran terhenti setakat mereka sahaja. Wallahua’lam

Rabu, 15 April 2009

Min Asraril Quran - siri 3

ISRAEL

Israel ialah “isim a’jam” yang tidak boleh ditasrifkan, terdapat 43 kali sebutan Israel di dalam al-quran. Dua darinya menceritakan tentang nabi Yaakub Alaihissalam. Sementara 41 lagi di sandarkan kepada “Bani” yakni mencerikan tentang bani Israel.

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. (maryam 58)

Yang di maksudkan dengan Israel dalam ayat di atas ialah Nabi Yaakub Alaihissalam dan yang dimaksudkan dengan nabi dari zuriatnya ialah dengan mengutuskan nabi untuk umat bani Israel seperti Nabi Musa, Nabi Harun, nabi Daud, Nabi Sulaiman Alaihimussalam.
Bani Israel ialah zuriat daripada Yaakub alihissalam yang terhasil dari anak-anaknya seramai 12 orang. Bani Israel telah menempati Negara Mesir semenjak mereka mula berhijrah kesana diwaktu Nabi Yusuf menjadi pemerintah Mesir, akan tetapi setelah berlalu zaman pemerintahan Nabi Yusuf meraka mula ditindas oleh pemerintah Mesir yang digelar “ Al-Farai’nah”. Maka Allah menyelamatkan mereka dengan memilih Musa sebagai Nabi dan pemimpin mereka, Musa telah Berjaya membawa mereka keluar dari Mesir menuju ke “Saina’” tetapi tidak sempat membawa Bani Israel masuk ke Palestin kerana Musa kembali ke rahmatullah. Bani Israel Berjaya masuk ke Palestin di bawah pimpinan Nabi Yusha’ .
Akan tetapi Bani Israel tidak bersyukur dengan ni’mat yang dikurniakan Allah sebaliknya mereka melampau batas dan ingkar kepada Allah menyebabkan kemurkaan dari Allah dan semenjak itulah mereka digelar dengan “Yahud”
Pada hari ini golongan Yahudi ini telah secara terbuka memerangi umat Islam konon atas nama untuk menegakkan Negara Israel yang pada mereka merupakan ketetapan dari Allah. Maka mereka telah Berjaya menubuhkan Negara haram pada tahun 1947. Mereka mendakwa bahawa mereka ialah pewaris keturunan Nabi Yaakub, sebab demikian tanpa segan silu mereka menamakan bangsa mereka sebagai Israel, dan semua institusi dinisbahkan kepada Israel. Yang jelasnya ialah tidak layak untuk mereka menisbahkan diri mereka kepada Israel, kerana Israel(Yaakub) peribadi yang sangat mulia dan agung, maka gelaran yang cukup sesuai untuk mereka seperti yang diputuskan oleh al-quran iaitu ‘YAHUDI”.

Selasa, 24 Mac 2009

Min Asraril Quran - siri 2

IBLIS LAKNATULLAH

Iblis merupakan nama yang berasal dari perkataan A’jam dan bukan dari bahasa arab ( ini merupakan pendapat yang lebih kuat ).
Perkataan Iblis disebut dalam Al-quran sebanyak 11 kali, iaitu setiap satu kali dalam surah Al-baqarah, Al-a’raf, Al-isra’,Al-kahfi,Taha,As-syua’ra’ dan Saba’. Serta 2 kali dalam surah Al-hijr dan Shod.
Seperkara yang masyhur dalam riwayat mulut ke mulut ialah, Iblis mempunyai dua nama, satu nama sebelum dia ingkar kepada Allah iaitulah AZAZIL dan nama IBLIS itu diberi setelah dia mengkufuri Allah. Namun dakwaan tersebut langsung tidak bersandarkan dalil serta nas yang sahih.
Iblis merupakan makhluk yang diciptakan sebelum dari penciptaan manusia, dan sejak sekian lama Iblis hidup dalam lingkungan para Malaikat dalam syurga.Pun begitu Iblis bukan Malaikat sebaliknya dia tergolong dari golongan Jin. Hanya dengan satu ketakburan Iblis enggan untuk sujud ( member penghormatan ) kepada Adam A.S maka akibatnya Iblis telah dilaknat sepanjang zaman. Iblis telah membuat permohonan kepada Allah untuk mengekalkannya hingga hari kiamat dengan tujuan untuk menyesatkan manusia, Iblis mengangap dengan membuat permohonan ini maka Allah tidak akan mematikannya tetapi Iblis sedikit terlupa bahawa walaupun Allah memanjangkan tempoh hidupnya di dunia dia tetap akan dimatikan pada satu masa nanti, kerana Allah menyatakan dengan jelas bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati.
Jelas kepada kita bahawa Iblis mer upakan makhluk yang paling panjang umur, kerana dia diciptakan sebelum terciptanya Adam, dan sehingga kehari ini Iblis masih bernyawa di permukaan alam ini.
Iblis telah disifatkan oleh Allah sebagai SYAITAN. Perkataan Syaitan diambil dari kata dasar SYATANA yang bererti dijauhkan, maka oleh kerana Iblis telah dijauhkan dari rahmat Allah maka dia digelar Syaitan.Apa yang perlu diketahui bahawa SYAITAN bukan hanya khusus kepada Iblis sebaliknya gelaran Syaitan itu untuk semua makhluk samada manusia atau jin yang ingkar dan kufur kepada Allah.
Perkataan Syaitan dengan lafaz “Mufrad” disebut sebanyak 70 kali dalam Al-quran, dan dengan lafaz “Jama’” sebanyak 18 kali.
Maka setiap orang yang kufur dengan Allah mereka ialah Syaitan dan pengikut kepada parti SYAITAN yang dipimpin oleh IBLIS laknatullah. Seperti yang dinyakan oleh Allah dalam surah Al-mujadalah ayat 9.
Wallahua’lam.

Jumaat, 20 Mac 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU........

BARAKALLUHU LAKUMA WAJAMA’A BAINAKUMA FI KHAIR…….Ucapan tahniah dan selamat pengatin baru untuk 2 orang sahabat yang baru mengadakan Walimatul U’rus, Mohd Nasbir Md Yusof (Beh) dengan pasangannya Maryam Jamilah Yusof dan juga Mohd Basri Shohimi dan pasangannya yang aku pun tak pasti namanya

Ali Rustam di gantung: Siapa gembira?

Berita tentang tergantungnya Ali Rustam dari kebenaran untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno tentu disambut gembira oleh sebahagian ahli Umno dan tentu pula sebahagian penyokong tegar Ali akan menyembah derhaka kepada lembaga disiplin. Ketika Ali memenangi jawatan Naib presiden dalam pemilihan sebelum ini, bukan sedikit suara yang mempertikaikan kemenangan tersebut, ini kerana Ali memang tidak sunyi dari dakwaan mengamalkan RASUAH atau dalam bahasa umno “Politik Wang”. Apabila lembaga disiplin UMNO mengambil tindakan menggantung keahlian Isa Samad, penyokong Isa turut mempertikaikan keputusan tersebut, kerana ia seolah olah berat sebelah apabila tidak mengambil tindakan terhadap Ali yang menang jawatan tersebut melalui jalan yang diragui sama seperti Isa.
Saya teringat ketika selepas pemilihan UMNO sebelum ini, beberapa pemimpin Umno telah mengadakan lawatan ke timur tengah, antara destinasi yang disinggah ialah Syria, kebetulan waktu itu saya masih di Syria dan antara pemimpin yang menyertai rombongan itu ialah Tan Sri Abdul Hamid Othman. Pada majlis makan malam bersama rombongan, saya telah diletakan semeja dengan Hamid -Othman ¬– kebetulan saya salah seorang EXCO persatuan pelajar- sempat juga untuk berbual dengan Tan Sri, tetapi antara banyak isi perbualan kami, saya teringat kepada satu perkara yang diucapkan oleh Hamid Othman ketika menceritakan tentang bagaimana perjalanan pemilihan UMNO , kata Hamid lebih kurang bunyi nya “ macama mana Ali dengan Isa boleh menang, dua dua tu bukan boleh cakap orang putih, paham pun sikit2 ja.macam mana nak jadi pemimpin nasional. Tapi memang tak heran la Dato’ ( dituju kepada seorang pegawai JASA yang saya terlupa nama dia) bila ada duit memang boleh menang, kita yang tak dak duit ni dah tak peghaya la.” (kalau tak silap saya, Hamid Othman kalah dalam pemilihan Majlis tertinggi UMNO pada tahun itu)Bila saya mendengar apa yang dikatakan oleh Hamid Othman, saya tergelak sendirian dan berkata dalam hati , apa punya tak ceghedik paklong ni, hal dalam kelambu UMNO pun nak gheyuh, paihtu bila terdedah keaiban UMNO mula la pakat cempera. Tapi saya juga sebenarnya seonok dengan apa yang dikatakan oleh Hamid Othman itu, sekurang kurangnya membenarkan telahan saya selama ini dan akan sampai bila bila bahawa UMNO adalah parti perosak yang sudah dilumuri najis mughallazah iaitu RASUAH.
Bila Ali digantung dari bertanding jawatan Timbalan Presiden, ia sebenarnya tidak mampu membersihkan keseluruhan jiwa UMNO tetapi lebih dari itu Ali juga perlu disingkirkan dari jawatan MB Melaka. Apapun orang seperti Hamid Othman tentu mengukir senyum dengan tindakan Lembaga Disiplin UMNO, walaupun senyuman itu tidak membawa sebarang makna.

Selasa, 17 Mac 2009

Tazkirah untuk semua........

Tazkirah Jumaat 6 hb Mac

( ketika melayari blog pandangbelakang.blogspot.com , terpampang artikel ini yang bertajuk "Abu Lahab lebih baik dari kita?", apabila saya membaca artikel ini terasa macam pernah saya menyampaikan isi isi nya dalam satu tazkirah, ternyata dibawah artikel ditulis artikel ini diedit dari tazkirah saya pada jumaat 6 mac di masjid Ittihadiah, kg tengku husin, manjoi.- kepada tuan punya blog, saya mohon kebenaran untuk menyiarkan semula artikel ini dalam blog senandungmalam sebagai bahan tazkirah bersama)

Kita kini berada dalam bulan Rabi'ul awal, dan pada hari ini marilah kita bersama-sama mengucap syukur kehadrat Allah s.w.t. yang mempertemukan kita lagi dengan Rabi'ul awal ini, bulan yang menjadi kebiasaan dan amalan tradisi kepada kita, bilamana masuk sahaja bulan ini kita akan sambut peristiwa Maulidul Rasul s.a.w., satu peristiwa yang cukup besar yang telah mengubah sejarah kemanusiaan di dunia ini. Ketika mana dunia sedang resah gelisah dengan penyakit dan virus jahiliah, Allah s.w.t telah mentakdirkan untuk mengutuskan, kelahiran seorang anak yang menerajui dan telah merubah landscape sejarah hingga waktu ini.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang kita sambut saban tahun dan kita tidak pernah lupa dengan pelbagai acara serta sambutan. Seorang penyair arab telah menyebut "Telah dilahirkan seorang 'al-huda' yakni penunjuk jalan, maka seluruh alam bercahaya dengan kelahiran Muhammad s.a.w. dan setiap manusia yang hidup pada zaman itu dan zaman ini mengukirkan senyuman dan memuji terhadap kelahiran baginda Nabi Muhammada s.a.w." Maka pada hari ini tidak kiralah pada berapa haribulan pun, ada sebahagian riwayat yang kuat menyatakan 12 Rabi'ul awal Nabi lahir, ada juga riwayat yang menyatakan bukan tarikh 12 Rabi'ul awal tetapi tarikh yang lain, namun dalam bulan Rabi'ul awal seluruh umat Islam tidak kira rupa paras, warna kulit, pangkat dan bangsa keturunan, kita semua bersepakat meraikan peristiwa yang dinamakan Maulidul Rasul. Ada yang membuat dengan sambutan perarakan, ada yang menyambutnya dengan ceramah agama, berbagai-bagai acara dan berbagai-bagai peringkat.

Persoalannya yang ingin dilontarkan dalam tulisan yang pendek ini, bagaimanakah, apakah cukup dengan untuk kita menyatakan rasa cinta, rasa sayang kita kepada Baginda Nabi s.a.w. dengan sekadar menyambut peristiwa sahaja. Apakah cukup untuk kita hanya mengaku dengan menyatakan kita umat nabi yang menyayangi dan menyintai Nabi s.a.w. dengan hanya membuat acara-acara sambutan Maulidul Rasul semata.

Kalaulah kita gembira dengan kelahiran Nabi s.a.w. dan menyambutnya dengan acara-acara sebegitu sahaja, maka sesungguhnya Abu Lahab bapa saudara Nabi s.a.w. lebih baik daripada kita. Kerana sewaktu kelahiran Nabi s.a.w., orang datang berjumpa dengan Abdul 'Uzza, yakni nama sebenar Abu Lahab. Orang cerita kepada Abu Lahab "Ya Abdul 'Uzza, sesungguhnya adik ipar kamu yang namanya Aminah telah selamat melahirkan seorang anak, anak itu lelaki, ayah kamu yang namanya Abdul Mutalib telah memberi nama anak itu dengan nama Muhammad." Apa jawab Abu Lahab? ia menyatakan syukur kepada Rabbihaka'bah, tuhan yang menjaga Ka'bah, dan dia telah mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda seronok dan gembira dengan kelahiran Muhammd s.a.w.

Kalau kita juga sambut cuma dengan seronok dengan sambutan Maulidul Rasul setakat itu sahaja, maka Abu Lahab sebenarnya lebih baik dari kita kerana dia juga seronok malah menumbangkan 100 ekor unta (100 ekor unta!!!, kalau kita 100 ekor ayam pun belum tentu). Abu Lahab dengan 100 ekor unta, tetapi orang yang samalah, Muhammad yang ia seronok ketika dilahirkan itulah setelah dilantik Allah s.w.t. menjadi Nabi dan menyeru kepada Islam maka Abu Lahablah orang pertama yang menolak kenabian serta ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Bayangkanlah, 40 tahun sebelum itu dialah orang yang paling gembira dan seronok, dialah yang mengeluarkan segala-galanya untuk sambut kelahiran Nabi s.a.w. bahkan dialah orangnya yang memerdekakan beberapa orang hamba, diantaranya Thuwaiba yang kemudiannya pernah menjadi ibu susu Nabi, ia merdekakan mereka kerana begitu seronok dengan kelahiran Nabi s.a.w.

Satelah 40 tahun kelahiran Mumammad dan dilantik menjadi Nabi, perkara pertama dilakukan Nabi s.a.w. ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku!, sepupu-sepupuku!, adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi s.a.w. pada waktu itu berkata "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." maka jawab Nabi s.a.w. "Maka pada hari ini aku ingin istiharkan aku adalah utusan Allah", lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Tabballaka ya Muhammad" yang bermaksud "Celakalah Muhammad, apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?". Maka turunlah ayat Al-Qur'an surah Al-Masad, "Tabbat yada abi lahabiu'n watab..." ertinya "Celakalah Abu Lahab..." hingga akhir ayat, maka celakalah Abu Lahab bukan Muhammad s.a.w. yang celaka.

Jadi, apabila kita menyebut sambutan Maulidul Rasul, maka di situ mesti ada pengisian, pengisiannya adalah dengan mencari kesempatan yang diberi Allah s.w.t. untuk mengenang, mencari siapakah sebenarnya Nabi s.a.w., siapakan Nabi yang kita ikut. Apakah kita sekadar mengenali beliau benama Muhammad bin Abdullah? tetapi tidak tahu sejarah hidup serta perjalanan sirah Baginda s.a.w. Ambillah kesempatan disamping ceramah-ceramah, program-program, aturcara-aturcara yang kita buat disamping itu kita kembali menghayati, mengingati, kehidupan Nabi s.a.w. daripada mula Nabi s.a.w. dilahirkan hingga wafat kembali ke rahmatullah kerana Nabi s.a.w. adalah "Uswatun Hasanah" yakni "Contoh Tauladan Terbaik" kepada umat manusia.

Bilamana kita manusia mengetahui peribadi Nabi s.a.w., bagaimanakah kehidupan Nabi s.a.w., maka ketika itulah akan timbul rasa cinta kita kepada Baginda s.a.w. dengan melaksanakan segala titah suruhan, yang diperintah Nabi s.a.w. dan sedaya-upaya meninggalkan segala ancaman-ancaman, tegahan-tegahan yang telah disebut Nabi s.a.w. lebih seribu empat ratus tahun dahulu.

Allah s.w.t. menyatakan sekiranya kamu cinta kepada Allah, sekiranya kamu cinta kepada Nabi maka ikutlah arahan Allah, ikut arahan Rasul "Wa'ati'ullah waatiurasul wa'ulil aamri minkum" kata Allah hendaklah kamu mentaati Allah dan hendaklah kamu mentaati Rasul dan juga pemimpin-pemimpin kamu. Ulama menafsirkan bahawa ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Allah, Allah menyebut "A'ti'u", ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Rasul, Allah menyebut "A'ti'u rasul", dan ketika mana Allah menyebut taat kepada pemimpin Allah cuma menyambung "wa'ulil aamri minkum" tanpa menyebut "A'ti'u". Maka di sana ulama membuat kesimpulan taat pada Allah, taat pada Rasul adalah mutlaq tanpa soal. Apabila Allah Ta'ala kata halal maka halallah, bilamana Nabi kata wajib maka wajiblah, apabila Nabi kata perkara ini tak boleh buat maka tak boleh buat kerana patuh kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlaq, tunduk dan patuh. Adapun taat kepada "ulil aamri" kepimpinan maka di sana ada kaitan yakni pemimpin yang taat kepada Allah dan taat kepada Rasul yaitu berdasarkan kebenaran.

Sempena Maulidur Rasul ini, marilah kita sama-sama bertekat dan menanam azam untuk kembali mengenal Nabi s.a.w. dengan sirah, kita ajar anak-anak kita, generasi kita untuk faham siapakah Nabi kita. Dengan menanamkan kefahaman kepada generasi ini daripada kecil, InsyaAllah generasi mendatang akan menjadi generasi yang lebih berpedoman dan beridolakan Rasulullah s.a.w., oleh kerana generasi dan umat yang ada pada waktu ini sudah hilang idolanya, mentornya, ikutannya, maka marilah bersama-sama kita kembali menjadikan Nabi s.a.w. sebagai ikutan dalam kehidupan, kita tanamkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w. dengan mengikut segala sunah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. samada perintah arahan ataupun tegahan yang diwarisi dalam hadis-hadis yang banyak disebut serta ditinggalkan Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, marilah kita kembali menghayati segala sunah Rasulullah s.a.w. dan kehidupan beragama kerana pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud "Orang Islam, bilamana ia meninggalkan agama, bilamana ia meninggalkan contoh tauladan kehidupan berpandukan kepada Nabi s.a.w., umat Islam pada ketika itu akan jadi mundur, terkebelakang walaupun manusia menyatakan semakin maju, tetapi yang meninggalkan agama sebenarnya akan menjadi mundur. Adapun orang yang bukan Islam, bilamana mereka meninggalkan ajaran agama mereka, mereka akan menjadi maju dan kehadapan"

Marilah kita kembali menghayati serta menjalankan tugas yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan moga-moga dengan kita menghidupkan sunah dan mengamalkannya serta memperbanyakkan selawat keatas baginda, apalah kiranya Nabi s.a.w. sudi memberikan kita Syaffa'atnya semasa kita di Yaumil Masyar yang kita cukup yakini kehadirannya di akhirat nanti, InsyaAllah.
credits: utz. m.rodhi ab/m.al-ittihadiah

Rabu, 11 Mac 2009

Min Asraril Quran - siri 1

ADAM ALAIHIS SALAM

Nama Nabi Allah Adam A.S disebut di dalam Al-quran sebanyak 25 kali dalam 25 ayat
1. Surah Al-baqarah – ayat 31, 33, 34, 35, 37
2. Surah Ali-imran – ayat 33, 59
3. Surah Al-maidah – ayat 27
4. Surah Al-a’raf – ayat 11, 19, 26, 27, 31, 35, 172
5. Surah Al-isra’ – ayat 61, 70
6. Surah Al-kahfi – ayat 50
7. Surah Maryam – ayat 58
8. Surah Taha – ayat 115, 116, 117, 120, 121
9. Surah Yasin – ayat 60
Disebut di dalam kitab Addurrul manthur daripada Ibnu Abbas bahawasanya Adam dan Hawa diturunkan kebumi dari syurga disebuah negeri yang bernama “DAJNA” iaitu satu tempat antara Makkah dan Thaif. Dalam satu riayat lain dari Ibnu Abbas bahawa mereka diturunkan di “INDIA”. Terdapat juga pendapat yang mengatakan Adam diturunkan di Sofa manakala Hawa diturunkan di Marwah.
Dalam kitab Tafsir imam At-Tabari, diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar “Ketika Allah menurunkan adam kebumi dari syurga, Adam di tempatkan di India, kemudian Adam dating ke Makkah dan kemudian mengembara ke Syam dan wafat di sana”
Adapun makam Nabi Adam ada beberapa pendapat, diriwayatkan Nabi Adam dimakamkan di bukit Abi Qubais di Makkah, pendapat lain mengatakan di bukit Bauz, India dan satu lagi pendapat mengatakan di Baitul Maqdis.
Pendapat yang lebih rajih adalah seperti yang dinyatakan oleh At-Tabari, Ibnu Athir dan juga Ya’qubi, sesungguhnya Adam A.S setelah diampunkan oleh Allah terhadap kesilapannya, Jibril telah membawa Adam ke Arafah dan di sana Adam telah diajar tentang ibadah haji, setelah Adam wafat baginda di makamkan di Bukit Abi Qubais, Makkah.

Selasa, 10 Mac 2009

Salam pertemuan buat semua pembaca, mungkin juga salam perkenalan untuk anda semua, 2 tahun sebelum ini pernah juga saya mencuba untuk berjinak jinak dengan dunia blog ini. Tapi ternyata cubaan itu menemui kegagalan, blog saya sebelum ini hanya mampu bertahan beberapa bulan akibat terkena virus “malas update”.
Kali ini saya cuba sekali lagi untuk turut sama melibatkan diri dalam dunia blog, dengan satu tujuan, untuk menggunakan medium ini bagi berkongsi maklumat dan ilmu untuk tatapan kita bersama, menyedari banyak isu yang berlegar disekeliling kita menuntut kita untuk menyatakan sesuatu dalam ruang yang cukup luas, maka saya dengan rendah diri berasa perlu untuk berblog semula.
Moga Allah s.w.t memberikan kekuatan kepada saya untuk berlari laju seperti blogger blogger lain.
Sekali lagi, salam perkenalan dan ukhuwah…..