Selasa, 24 November 2009

Syeikh Abu Bakar Awang meninggal

ALOR SETAR, 23 Nov: Penasihat Persatuan Ulamak Kedah (PUK), Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi tadi di Hospital Sutanah Bahiyah, dekat sini lantaran sakit tua.

Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.

Sebelum itu, kedua tokoh terkenal ini berkhidmat di Maahad Mahmud, bersama-sama dengan bekas Presiden PAS, Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor. Ustaz Abu Bakar adalah pelajar awal Pondok Tuan Guru Haji Yahya Al-Junaid di Batu 16, Padang Lumat, Kedah.

(Gambar: Abu Bakar dengan anak-anak muridnya)

Beliau menyambung pengajian agama di sebuah universiti di Baghdad, Iraq. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama.

Sebaik kembali dari Iraq, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.

Ketika dihubungi di hospital, Mudir MTID, Syeikh Abdul Majid Abu Bakar An-Nadwi berkata, jenazah akan disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Ustaz Niamat.

Ustaz Abu Bakar yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din sangat mahir dalam bidang Feqah Muamalah dan menulis beberapa buku ilmiah mengenainya. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Ketika dihubungi Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengucapkan takziah mewakili PAS negeri itu dan menyifatkan pemergian Ustaz Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada agama dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Azri Ahmad mengesahkan, Ustaz Abu Bakar menjadi Timbalan Ketua dewan itu dari 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

“Dewan Ulamak PAS Kedah juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulamak ini yang berkorban jiwa raga di atas jalan perjuangan kebenaran, semoga Allah SWT mencucuri Rahmat-Nya ke atas rohnya,” ujar Azri.

HarakahDaily.Net/-

Isnin, 9 November 2009

Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Selepas Seminar Itu…)

Tuan guru Haji Abdul Hadi Awang akhir-akhir ini sering menjadi sasaran kritikan, lebih memedihkan apabila pengkrtik tersebut kebanyakan adalah yang mengaku menjadi ahli PAS. Islam sama sekali tidak menghalang untuk orang bawah menegur pimpinan, namun semua teguran hendaklah berpaksikan adab islam.tapi apa yang terjadi semua yang membuat teguran seolah tercabut nilai akhlak dan adab ketika melontarkan kritikan. catatan dibawah yang saya petik dari blog pemudagombak sekadar mengajak semua kita merenung dan mengenali semula TGHA.catatan ini saya yakin seperti yang disebut, bukan untuk memuja TGHA, tetapi sekadar meluahkan isi hati dan rasa sayang kepada seorang tokoh ini.- senandung malam

Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din (Ketua Lajnah Tarbiyah DPPG)

Telah ramai memberikan ulasan sama ada positif atau negatif selepas berakhirnya Seminar Memperkasakan Parti tempoh hari. Cukuplah dengan coretan rakan-rakan blogger dalam menggambarkan suasana program tersebut. Rasanya tidak perlu diulas lagi resolusi, perbahasan atau bilangan perwakilan serta pemerhati yang hadir.

Namun, saya ingin mengulas tentang seorang individu yang menjadi antara subjek-subjek utama ucapan serta perbahasan hari ini. Beliau adalah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.



Bagi yang ingin mencari individu yang benar-benar menjiwai akhlaq sebagai ahli gerakan, pada saya contoh yang paling sesuai adalah beliau.

Pengalaman Seminar

Beliau berkelapangan mengikuti seminar politik tersebut sejak dari awal lagi termasuk memberikan ucaptama. Sejak awal seminar lagi saya memerhatikan ucapan, tindak-tanduk serta reaksi beliau tehadap peserta-peserta seminar dan keadaan di situ.



Bermula dari pembentangan oleh Prof. Abdul Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau telah mula dikritik. Bahkan, ditambah pula dengan data-data sokongan responden kajian yang dikemukakan oleh Dr. Abu Hassan yang menampakkan sokongan yang agak negatif terhadap beliau. Saya serahkan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengulas dapatan-dapatan tersebut.

Namun, sudi saya ketengahkan di sini tentang sikap tawaddhu’ beliau yang sudi mendengar kritikan dan teguran yang dikemukakan. Sepanjang slot bersama dua tokoh akademik tersebut, beliau langsung tidak berganjak dari tempat duduknya bersama dengan hadirin yang lain mendengar dengan tekun setiap pandangan yang dilontarkan.

Saya tidak pasti sekiranya orang lain berada di tempatnya akan bertahan lama.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh sebahagian perwakilan, namun beliau dengan sifat rendah diri mencatit satu-persatu apa yang dimuhasabahkan.

Tenang…..

Walaupun kebanyakan kritikan itu adalah tohmahan. Dan tidak melampau ada yang sampai ke tahap fitnah terhadap kepimpinan beliau.



Kadang-kala beliau kelihatan mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan, bersetuju dengan kritikan yang diberikan. Bahkan, dalam ucapan penggulungan, beliau sanggup membela pihak yang mengkritiknya dan seolah-olah menyanjung tinggi semua pandangan kritis itu.

Beliau tidak akan merasa gundah dengan kemelut ini. Sebarang masalah yang berlaku pastinya tidak akan melemahkan semangat untuk terus berjuang. Bahkan, tekad Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk tetap memikul amanah yang diserahkan kepada beliau sedaya mungkin. Beliau menyatakan bahawa kepimpinan PAS yang diketuai beliau adalah nakhoda yang akan terus menerajui parti demi mencapai hasrat memartabatkan agama Allah SWT di bumi Malaysia ini.

Saya terfikir sekiranya beliau terpengaruh dengan gesaan supaya memecat Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Hassan Ali, nescaya ahli PAS akan lebih teruk berpecah. Jemaah akan porak-peranda dan runtuh. Mungkin ada yang keluar PAS dan menubuhkan parti baru.

Namun, tindakan beliau yang memanggil mesyuarat PAS untuk membincangkannya adalah satu akhlaq yang perlu dicontohi. Ini menunjukkan beliau mengutamakan syura melebihi pandangan peribadi. Bahkan, beliau tidak pernah sewenang-wenangnya menjawab tohmahan yang dilontarkan secara melulu dan emosi. Beliau bersikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Adil dan menyerahkan perkara tersebut untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.

Beliau meminta pandangan sahabat-sahabat pimpinan yang lain terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu sikap. Walaupun beliau mempunyai hak untuk menggunakan autoritinya bagi memberikan pendapat. Sementelah lagi beliau mempunyai kelayakan berijtihad sebagai seorang ulama’.

Sikap keterbukaan beliau jelas apabila sudi bersetuju untuk menganjurkan seminar hari ini. Bahkan, beliau sudi untuk menjemput orang yang mengkritik kepimpinan dan batang tubuh beliau secara lantang dan terbuka iaitu Prof. Abdul Aziz Bari.



Apakah mata kita sudah kabur untuk melihat keikhlasan beliau? Apakah begitu singkat ingatan kita sehingga melupakan jasa beliau selama ini dalam perjuangan PAS? Apakah kita terus segera meletakkan satu label negatif serta serong kepada beliau hanya sekadar dengan lontaran idea Kerajaan Perpaduan yang merupakan ijtihad peribadi beliau?

Tuan Guru mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hikmah dan kebijaksanaannya mungkin belum disedari termasuk oleh pimpinan PAS sendiri. Sehingga menyebabkan ada pihak yang sanggup memberikan wala’ kepada orang di luar parti. Tokoh-tokoh lain dikagumi, disanjungi sehingga pimpinan sendiri gagal ditaati.

Pengalaman di Bagan Pinang

Teringat sewaktu Tuan Guru memberikan ceramah sewaktu pilihanraya Bagan Pinang bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain. Sepeti biasa, beliau mengulas isu semasa dengan digabungkan bersama dengan ayat-ayat suci al-Quran, Hadis serta Sirah perjuangan Rasulullah SAW. Inilah ‘pattern’ Tuan Guru. Seusai sahaja ucapan beliau, seorang yang berbangsa India bertanya kepada kami yang sedang bertugas.

“Dia baca teks ke tadi?”

“Tak..” Jawab saya.

“Wow, very charismatic la”, ujarnya kagum. Menyangka pidato Tuan Guru bersandarkan teks.

Mungkin ini secebis pengalaman saya tentang Tuan Guru. Mungkin banyak lagi yang dialami oleh sahabat-sahabat.

Istiqamah Mendepani Cabaran

Teruskan perjuanganmu Tuan Guru. Kami bersama denganmu bagi menyambung mata rantai perjuangan yang telah diwariskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tuan Guru dan para pejuang Islam, hayatilah sabda Rasulullah SAW ini;

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاْءً اَلْأَنْبٍيَاْءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى النَّاْسُ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِمْ فَمَنْ ثَخُنَ دِيْنُهُ اِشْتَدَّ بَلَاْؤُهُ وَمَنْ ضَعُفَ دِيْنُهُ ضَعُفَ بَلَاْؤُهُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُصِيْبُهُ الْبَلَاْءُ حَتَّى يَمْشِيَ فِي النَّاْسِ مَاْ عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ.

“Manusia yang paling hebat ditimpa ujian oleh Allah ialah para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka dan begitulah seterusnya. Manusia diuji mengikut tahap pegangan agama mereka. Sesiapa yang kukuh pegangan agamanya akan kuatlah pula ujian Allah kepadanya. Sesiapa yang lemah pegangan agamanya ringanlah ujian Allah kepadanya. Apabila seseorang ditimba ujian (dari Allah, maka akan terhapuslah dosanya) sehingga ia berjalan di tengah-tengah manusia tidak ada sedikitpun dosa yang terpikul atas bahunya”.
(Riwayat Ibnu Hibban dari Abi Sa’id r.a.)

Tulisan ini bukan untuk memuji, memuja atau untuk mempertahankan beliau. Bahkan, beliau tidak perlukan semua itu. Bagi beliau, hanya Allah SWT yang menjadi matlamat utama. Dan matlamat inilah yang menjadi benteng kukuh bagi menghalang putus asa, kecewa dan merasa lemah menerobos dalam dirinya. Saya yakin dan pasti.

Dalam respon beliau terhadap suara-suara gesaan terhadapnya supaya berundur, beliau menyatakan sebagaimana kenyataan Saidina Uthman bin Affan ketika diminta meletakkan jawatan sebagai khalifah.

“Saya tidak akan menanggalkan pakaian yang dipakaikan oleh Allah SWT”.

Khamis, 5 November 2009

Lagi Tentang WAHABI....

Aku tak pandai nak menulis berkenaan isu ini, tetapi aku amat setuju dengan pandangan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Jelas dan padat.baca dan ambil pengajaran, isu-isu yang iketengahkan oleh ustaz zaharuddin ada aku sentuh dalam beberapa kuliah aku sekadar membuka minda rakyat Malaysia agar lebih ber"ILMIAH" dan tidak "TAASUB", 2 kalimah yang aku pinjam dari Ustaz Hasrizal dalam catatannya berkaitan isu Dr.MAZA.Berikut aku sertakan catatan asal UZAR yang aku copy dari blog beliau....


Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.


Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Sebagai contoh:

tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi, menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki, tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi. Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.
Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.


Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.
BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"

"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة
" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم
Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه
Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Nov 2009

Aku Rindu....

4 tahun setengah bukan tempoh yang pendek, sepanjang tempoh tersebut lah aku belajar tentang kehidupan di sebuah Negara yang bernama Syria, kalau di ikutkan hati Syria bukan tempat pilihan untuk aku menyambung pencarian ilmu, tapi takdir telah menentukan aku terbang juga kesana pada bulan ogos 2002, Alhamdulillah setelah 4 tahun lebih di sana, aku melangkah pulang ke tanahair dengan sedikit pengalaman yang mengajar aku erti kehidupan. Waktu di sana rindu untuk balik ke Malaysia memang sentiasa ada, di tambah dengan perangai arab yang membuatkan kita akan memaki seranah arab setiap hari. Tapi bila kaki telah menjejak bumi malaysiaa, hati aku mula rindu pada bumi barakah Syam, rindu pada mutiara ilmu dan untaian hikmah dari “masyaikh” Syam. Rindu pada kesegaran cuaca syam, rindu pada kehebatan semangat solahuddin ayubi yang pusaranya berhampiran masjid Umawi, rindu pada suasana kemeriahan ramadhan, rindu pada kebaikan sebahagian warga Syam, rindu pada syawarma, falafel, dan berbagai2 lagi juadah ala syam. Dan aku rindu segala2nya tentang Syam. Alhamdulillah, raamadhan 1430/2009 setelah 3 tahun bumi Syam aku tinggalkan , aku menjejak kaki semula di Syria melalui jalan darat merentasi Jordan, 2 minggu aku di Syria , sedikit sebanyak kerinduan tadi terubat. Tapi aku hairan bila sampai di bumi syam, karenah arab dengan budaya dan perangai mereka sudah cukup untuk melayu yang berjiwa lembut akan sentiasa memaki hamun. Dari pemandu teksi sehingga ke pagawai imegresen, kebanyakkan mempamerkan perangai HIMAR mereka, undang2 dan peraturan sekadar di bukukan tetapi tidak dilaksanakan , sistem yang tidak bersistem.mudah cerita keadaan serabut tanpa peraturan seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat arab, maka tidak hairan kalau ramai pelajar Malaysia tidak mempunyai visa lantaran urusan mendapatkan visa kdg2 berdepan karenah arab yang tidak berperaturan. Tetapi semua itu hanya asam garam kehidupan …apapun aku tetap rindu pada syam dan suasana keserabutannya!!!!!

Selasa, 3 November 2009

wahabi...

Ustaz! apakah yang dimaksudkan wahabi? boleh dak saya ikut wahabi, wahabi tu macam mana? terang sikit ustaz tentang wahabi! demikian beberapa soalan yang ditanyakan kepada aku oleh seorang jemaah sebelum aku memulakan kuliah di sebuah masjid daerah, aku pun terangkan secara ringkas kepadanya, dan aku yakin dia kurang puas dengan jawapan aku yang amat ringkas, jadi untuk jelas tentang perkara ini sila rujuk tulisan ustaz wan ji di blognya....

DOKTRIN BENCI WAHABI?

Doktrin benci wahabi sering kedengaran sejak sekian lama. Wahabi disinonimkan dengan gerakan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab. Dakwaan gerakan ini tidak bermazhab, merupakan satu tuduhan melulu; yang tidak berlandaskan perdebatan ilmu.

Muhammad bin Abdul Wahab sendiri pernah mengakui bahawa beliau bermazhab Hanbali. Jika ini berlaku, bagaimana tuduhan tidak bermazhab dilemparkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab?

Hakikatnya, pertembungan yang berlaku hanyalah, dakwaan sahaja. satu pihak mendakwa, mereka sebenarnya ahl As-Sunnah wa Al-Jamaah. Satu pihak yang lain pula, mendakwa bahawa mereka sebenarnya ahl as-sunnah wa al-jamaah, disamping menafikan satu pihak yang lain.

SALAFI DAN KHALAF

Jika membaca balik sejarah kelahiran istilah salafi dan Khalaf, mungkin kita agak memahaminya. Apa yang ingin diulas, golongan yang mendakwa sebagai salafi pada asalnya adalah dari kelompok yang mendakwa sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal, atau dikenali sebagai “hanabilah”.

Mereka adalah penerus kepada perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal yang berhadapan kesesatan golongan muktazilah yang telah menyebarkan kesesatannya kepada masyarakat umum.

Dari itu, golongan hanabilah mula membicarakan perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid yang turut menyentuh mengenai “ayat mutasyabihat”. Hasil dari perbincangan tersebut, maka lahirlah pegangan yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal sebagai mewakili perbincangan beliau. Seterusnya, ia telah menimbulkan pertikaian sesame hanabilah sendiri dalam kontek penyandarannya kepada Imam Ahmad bin Hanbal.[1]

Kemudian dari itu, lahir pula Imam Abu Al-Hasan Al-Ashari dan pengikutnya yang digelar sebagai “Ashaa’irah”. Kelahiran mereka adalah selepas zaman Imam Ahmad bin Hanbal yang membawa pendekatan mutakallimin untuk mempertahankan aqidah ahl al-sunnah wa al-jamaah dalam menghadapi muktazilah. Namun, konsep dan pandangan asaariyyah itu tidak dapat diterima oleh mereka yang berpegang dengan pendekatan generasi awalan dari kalangan yang mendakwa pengikut Imam Ahmad bin Hanbal[2].

Para ashaairah mengisytiharkan bahawa mereka mempertahankan akidah islam dengan perantaraan ilmu kalam atau pendekatan logic akal dan menganggap sebagai kesinambungan daripada generasi salaf. Lantas mereka menggelarkan diri mereka sebagai khalaf sebagai perbedaan terhadap mereka yang sebelumnya. Berikutan itu, gelaran salaf mula digunakan sebagai lawan kepada gelaran khalaf.[3]

Pertelingkahan yang sengit di antara salafiyyah hanabilah dan ashaairah tercetus disebabkan kemunculan pendirian salaf semasa teguhnya kedudukan ashaairah dalam mendominasi bentuk pegangan tauhid umat Islam sejak sekian lama. Kemunculan ketika itu seolah-olah mencabar pengaruh ashairah sehingga masing-masing mendakwa sebagai mewakili pegangan sebenar generasi salaf.[4]

Apa yang dapat difahami dari kupasan ringkas ini, hakikat sebenar perbedaan ini berlaku, ekoran dari cara dan kaedah mereka berhadapan dengan muktazilah sahaja. Puak yang didakwa salafi, menggunakan method Hanabilah dalam berhadapan dengan Muktazilah, adapun Khalaf menggunakan method Asha’irah dalam berhadapan dengan Muktazilah.

Kedua-dua method ini, sebenarnya mempunyai satu matlamat, iaitu berhadapan dengan muktazilah. Ia sama seperti mahu ke kelantan, sama ada menggunakan laluan Kuala terengganu, ataupun menggunakan laluan Gua Musang.

METHOD HANABILAH DAN ASYA’IRAH

Method hanabilah dalam berhadapan dengan Muktazilah, lebih kepada berhujjah terus dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Adapun Asyairah, method menghadapi muktazilah dengan cara mengemukakan hujjah aqli terlebih dahulu, kemudian mengkuatkannya dengan merujuk kepada kandungan al-Quran dan as-Sunnah.

Ia sama seperti kita memahamkan non Muslim dengan islam dengan terus merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, ataupun dengan cara mengemukakan pembuktian sains terlebih dahulu, baru dikemukakan dokongan al-Quran dan as-Sunnah.

Jika difikirkan, di manakah salah antara dua kaedah ini? yang menjadi perbalahannya adalah, apabila tidak memahami hakikat khilaf bermethod sahaja.

JAIS DAN WAHABI

Wahabi adalah satu gerakan yang sebenarnya merujuk kepada gerakan dakwah yang disambung dari Imam Ibnu Taimiyyah, sedangkan Imam Ibnu taimiyyah sendiri adalah seorang tokoh ulama yang menyambung perjuangan Hanabilah.

Tidak dinafikan, JAIS amat negatif terhadap perkembangan gerakan dakwah Wahabi ini. ini lebih menjadi rumit, apabila ia sudah melibatkan luar dari isu asas, iaitu seperti masuknya isu Tahlil Arwah, Talqin mayat, Qunut Subuh dan sebagainya.

Keberadaan sebilangan ustaz-ustaz yang amat membenci Wahabi di dalam JAIS, menyebabkan pertembungan ini sering berlaku, dan tidak terhenti-henti sehingga sekarang. walhal, perkara ini boleh diselesaikan dengan kaedah toleransi yang sememangnya wujud dalam fiqh islami.

Tidak dinafikan, tahlil arwah, talqin mayat dan seumpamanya, sememangnya tidak wujud dalam mazhab as-Syafie, tetapi ia tidak bermakna, ia tidak wujud pada pendapat-pendapat ulama-ulama yang lain.

Makanya, apa yang hendak ditekankan disini adalah, pertembungan tentang salafi dan Khalaf atau Wahabi dan Asy’ari merupakan pertembungan yang tidak menguntung Islam sama sekali, kerana ia boleh diselesaikan dengan kaedah yang menyebut, ’kita bertoleransi dalam perkara yang dikhilafkan oleh ulama, dan bersatu teguh dalam mempertahankan perkara yang disepakati’.

Sebaliknya, jika tetap pertembungan ini diteruskan juga, ia hanya berjaya melahirkan polimik yang tidak berkesudahan, yang sudah pasti akan menyebabkan non Muslim akan berjauhan dari islam, dan seterusnya melambatkan kemenangan islam.

Yang paling penting bagi kita di Malaysia kini adalah, fokuskan kepada menyerang Muktazilah moden. Yang jika di Malaysia, Muktazilah moden itu adalah UMNO – Laknatullah alaih.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Selasa, 8 September 2009

ZAKAT FITRAH

CARA MENGAGIHKAN ZAKAT FITRAH
Soalan;Assalamualaikum. Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 org. anak kepada orang cacat. Zakat itu saya terus bagi kpd.nya.Semua zakat itu sebanyak Rm50 cth.nya saya bagi kepadanya.sahkah zakat sayaJawapan;Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah. Hukumnya adalah seperti berikut;1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;a)Untuk golongan fakirb)Untuk golongan miskinc)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agamad)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakate)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinyaf)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutangg)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2] Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada. Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat. Wallahu a’lam.Rujukan;1. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 912)2. al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 4693. ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221.Nota Hujung;[1] Berkata Imam asy-Syaukani; “…Adapun pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana pengagihan zakat yang lain kerana Rasulullah menamakannya dengan zakat… Akan tetapi, hendaklah didahulukan orang-orang fakir kerana terdapat arahan dari baginda supaya mencukupkan mereka pada hari raya. Kemudian, yang selebihnya dari keperluan mereka barulah dibelanjakan untuk golongan-golongan yang lain”. (Lihat; ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221) Pandangan Imam asy-Syaukani ini dipersetujui oleh ulama’-ulama’ semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qradhawi (dalam Fiqhu az-Zakahnya) dan juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (dalam Minhajul-Muslim).[2] Cara pengagihan hendaklah bergantung kepada keperluan, maslahah, kecukupan serta kadar zakat. Dalam memberi zakat, pemberi zakat hendaklah mencari orang yang paling berhak menerima zakatnya berbanding orang lain. Namun ia tidak dituntut supaya menyama-ratakan semua orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin yang ada dalam negeri atau kampungnya kerana pada zaman Sahabat sendiri, orang Islam biasa membayar zakat fitrah bagi diri dan keluarganya kepada seorang fakir sahaja. (Rujuk; al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469).
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Rabu, 5 Ogos 2009

catatan 1 ogos

Walaupun agak terlewat, rasa macam kena jugak buat sikit catatan sebagai kenangan yang aku jugak terlibat merasai “detik emas” ( meminjam istilah Ustaz Fairuz Hafiz ) tersebut.
Nak bertolak awal dari ipoh tak boleh sebab ada pengisian kuliah subuh pada pagi sabtu yang memang dah dijanjikan lebih awal, selesai kuliah lebih kurang 7.45 pagi aku dan dan seorang kawan bergerak menuju ke Kuala Lumpur dengan niat yang suci untuk turut serta dalam demontrasi MANSUH ISA, kami mengambil laluan masuk simpang pulai, seperti yang diduga sekatan polis ada di setiap pintu masuk lebuhraya, konon nak menggabrakan orang…..tapi ternyata rakyat Malaysia yang cerdik dah tak takut dengan semua tu.!..sampai di tapah kami berhenti untuk sarapan, d R & R tapah dah boleh kalau nak buat demontrasi..penuh dengan warga Malaysia yang punya hati nurani untuk turun Unjuk rasa di Kuala Lumpur, sempat jumpa dengan geng dari kedah, dan mereka maklumkan kata rombongan Unit Amal dari Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan, 2 dari anggota amal dilaporkan kritikal….kami meneruskan perjalanan dan sampai di bukit beruntung, bas yang terlibat kemalangan tadi baru saja diangkat dari gaung.
Dalam perjalanan aku menghubungi sahabat yang menetap d Kuala Lumpur, bertanya jalan mana yang paling mudah untuk kami lalui, kawan aku kata lebih baik park kereta kat rawang dan ambil komuter ke bank Negara. Aku kata ok jugak…Tanya sorang lagi dia kata baik park kat sungai buloh, dekat sikit…akhirnya kami ambik keputusan, terus ja ke Gombak, dari Gombak kami letak kereta di taman melati dan ambil LRT..( Plan sama kami guna waktu perhimpunan BERSIH )
Pukul 10.45 kami sampai di masjid jamek, keadaan dah penuh dengan polis, 2 3 minit kami berada di sekitar masjid india, polis membuat tangkapan rambang, kami terus ke warung berhampiran untuk mengelak di tangkap oleh polis laknat, kawan dari johor telefon, aku kata jumpa kat masjid jamek. Kami melilau kat situ sampai waktu zohor, solat jamak di masjid india, dari masjid india keluar dengan kumpulan besar dipimpin oleh Dato’ Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad..baru mula berarak keluar jalan polis dah mula tunjuk tanda akan buat kacau, dan ternyata sepanjang perarakan sebelum sampai di Sogo serangan polis mula membabi buta, di Sogo jumpa lagi dengan kawan2 yang dah lama tak jumpa, tak sempat nak sembang lama polis buat kacau lagi, tembakan gas dan pancutan air terus menerus seperti sedang berada di bumi Palestin, semua menyelamatkan diri lintang pukang, tapi aku kagum dengan Tian Chua, dia selamba ja walaupun aku yakin dia jugak pedih mata..
Episode gila babi polis berterusan sampai pukul 5 di kawasan sogo dan sekitarnya sampai ke pejabat PAS, kami bergerak ke stesen LRT dengan polis masih dok tak puaih hati ……
Aku tak tau nak tulih panjang, cukup aku katakan 1 ogos merupakan hari memaki polis, dan jangan terkejut kalau lepas ni rakyat berhimpun pula mendesak dimansuhkan FRU..!!!!
- Maaf, catatan ini agak lintang pukang,,,yang dok ingat dalam kepala kata-kata seorang teman, PELAQ PUNYA POLIS ( pelaq sejenis kata makian yang tiada maksud )